Pengarah Penunggang Agama 2, Shafiq Yusof menegaskan dia mendapat kebenaran dan rujukan daripada pihak ustaz dan gereja sebelum menampilkan watak paderi di dalam filem seram tersebut.

Menurut Shafiq, dia juga berhati-hati dalam menulis skrip supaya ia tidak menyentuh mana-mana sentimen keagamaan.

“Untuk Penunggang Agama 2 ni, semua tahu abang saya pernah buat filem islamik horror jadi untuk astro first ni walaupun skala dia kecil, saya perlu tunjukkan kelainan sedikit.

“Bila saya mencari, saya fikir untuk buat filem islamik horror yang ada pertembungan agama adalah satu benda yang unik, belum nampak lagi filem kat Malaysia yang begini.

“Memang agak mencabar tapi pada masa yang sama saya berhati-hati, saya minta pendapat daripada ustaz dari perspektif Islam dan ambil kebenaran untuk menceritakan seorang paderi di Cameron Highlands ni sebab saya shooting kat gereja dia, dan bila tengok skrip tu kedua-dua pihak okay,” jelas Shafiq ketika ditemubual.

Shafiq ditemui ketika sesi temubual secara maya bersama teraju utama filem Penunggang Agama 2, Zul Ariffin pada Rabu.

Tambah Shafiq lagi, filem ini mendapat kelulusan dan hanya dua dialog sahaja yang dipotong.

So far alhamdulillah hanya ada dua dialog yang dipotong. Waktu membuat skrip tu saya sangat berhati-hati dan saya tak membuat filem ni terlalu detail mengenai agama, kitab, takde.

“Sebenarnya ia lebih kepada visual paderi tu, saya tak buat sampai mencetuskan kontroversi,” ujarnya lagi.

Filem sekuel ini dibintangi pelakon hebat seperti Zul Ariffin (Amir), Azira Shafinaz (Anna), Tony Eusoff (Father Michael), Salina Saibi (Huda), Johan As’ari (Hafiz), Dato’ Rahim Razali (Datuk Fawwas), Anna Jobling (Anak Datuk Fawwas), Puteri Nurqaseh (Sarah), Burhan Sidqi (Bakhtiar) dan Sharifah Aisyarha (Anim).

Penunggang Agama 2 mengisahkan rentetan Amir dan Anna yang diganggu oleh Huda akibat dendam lama.

Sementara itu, Amir mula obses dengan kerja sampingannya, iaitu merawat penyakit dan gangguan makhluk halus kerana ganjaran lumayan yang diterima.

Kehebatan Amir dalam menyembuhkan pesakitnya juga turut tular di media sosial dan itu membuatkan dia semakin selesa dengan gelaran Ustaz.

Kehadiran seorang paderi bernama Father Michael telah mencabar ego dan kredibiliti Amir.

Saksikan filem Penunggang Agama 2 yang akan berada di Astro First bermula 19 Oktober 2021.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam secara berulang-ulang.

Selain itu, bagi mereka yang ingin menonton Penunggang Agama 1, boleh juga melanggan dua koleksi filem tersebut di Astro First secara kombo (Penunggang Agama 1 dan Penunggang Agama 2) dengan satu harga istimewa RM19.90.