Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pertikai Sistem Raja Berpelembagaan, Noor Kartini Mohon Maaf - "Ia Kecuaian Pengurus Media Sosial Saya"

Amri Hassan
30/05/2021 10:10 MYT
Ibu kepada selebriti sensasi Neelofa, Datin Noor Kartini memohon maaf atas penularan tangkap layar dari Instagram Storiesnya pada Ahad.

Menerusi kemaskini terbabit, Noor Kartini menulis kandungan yang mempertikaikan sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia.

Susulan insiden berkenaan, Noor Kartini tampil menjelaskan situasi sebenar yang berlaku.

"Berhubung tangkap layar daripada media sosial (Instagram story) saya yang tersebar berkenaan sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia, saya ingin jelaskan, perkara tersebut berlaku di atas kecuaian salah seorang pekerja saya yang mempunyai akses kepada sosial media (instagram) saya.

"Beliau yang merupakan pengurus media sosial di Noor Khan International Sdn Bhd secara tidak sengaja telah memuatnaik instastory tanpa sedar menggunakan akaun saya (@noorkartini).

"Saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail berhubung perkara ini dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Kepada Istana Negeri Johor terutamanya DYMM Tuanku Sultan Johor dan seluruh ahli keluarga diraja, patik merafak sembah memohon maaf di atas kecuaian yang terjadi," katanya.

Sebelum ini tular di Twitter apabila pengguna berkongsi tangkap layar daripada akaun Instagram Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar yang berkongsi visual dari Instagram Stories Noor Kartini.
#Neelofa #Tunku Idris #Johor #Usahawan #Raja #Datin Noor Kartini
;