Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pertuduhan Seksual Tak Jelas, Safiey Ilias Kemuka Bantahan Awal

Gempak
25/07/2023 05:01 MYT
Pihak pembelaan pada Isnin semalam mengemukakan bantahan awal terhadap dua daripada empat pertuduhan seksual yang dihadapi usahawan kosmetik Safiey Ilias di Mahkamah Sesyen Ampang, Selangor.

Peguam Harjeet Singh Sidhu yang mewakili Safiey, 29, atau nama sebenarnya Mohd Safiuddin Ilias memaklumkan kepada mahkamah bahawa dua pertuduhan berkomunikasi secara seksual dengan dua mangsa lelaki yang dihadapi anak guamnya adalah cacat.

"Dua pertuduhan tersebut tidak menjelaskan secara khusus apa yang dikatakan kesalahan komunikasi secara seksual yang dilakukan terhadap dua mangsa berkenaan.

"Ketiadaan butiran khusus menyukarkan pihak pembelaan untuk menyoal balas saksi-saksi pendakwaan dan menyediakan pembelaan kerana perkataan dalam pertuduhan tersebut hanya secara am," kata peguam itu di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.

Menurut Harjeet, pihak pendakwaan masih belum menyerahkan rakaman daripada Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) yang diambil daripada kedua-dua mangsa dan rakaman sesi perbualan sidang video secara langsung di Instagram yang menjadi asas dalam pertuduhan tersebut kepada pembelaan.

"Saya mohon pihak pembelaan dan pendakwaan diberi masa untuk mengemukakan hujahan bertulis berhubung isu tersebut," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan berkata pihaknya memerlukan masa untuk menjawab isu tersebut kerana ia baru ditimbulkan oleh pihak pembelaan pada prosiding hari ini yang ditetapkan untuk perbicaraan.

Norhazani memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 7 Ogos manakala bantahan awal didengar 16 Ogos dan keputusannya pada 24 Ogos ini.

"Tarikh perbicaraan yang sepatutnya bermula hari ini hingga Khamis ini dilapangkan dan tarikh baharu bicara ditetapkan pada 4, 5 dan 11 Sept serta 2 Okt," katanya.

Safiey Ilias didakwa atas dua pertuduhan berkomunikasi secara seksual dengan dua mangsa menerusi aplikasi Instagramnya di kediamannya di Bandar Baru Bangi pada 9 pagi, 9 Jun 2021.

Penyanyi lagu 'Syinta Gila' itu juga menghadapi dua pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menggoyang-goyangkan payudara di hadapan mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan Seksyen 15(a)(i) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber: Bernama

;