Hiburan

"Peruntukan RM1.5 Juta Bantu Usahawan Festival Mega Raya" - Noh Omar

gempak
Amri Hassan
23/04/2022
21:05 MYT
Sponsor Banner
"Peruntukan RM1.5 Juta Bantu Usahawan Festival Mega Raya" - Noh Omar
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan RM1.5 juta bagi memberi bantuan subsidi kepada hampir 1,000 usahawan bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, bantuan itu membabitkan usahawan yang terbabit dalam dua program iaitu Festival Gaya Raya Kuskop & Sme Corp di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan Starvendors Mega Raya Fest 2022 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Menurutnya, peruntukan diberikan itu dapat memanfaatkan hampir 1,000 usahawan dengan harapan mereka dapat bangkit semula dan dalam masa sama meringankan beban.
"Saya berharap dengan pemberian bantuan ini, usahawan dapat menjual produk mereka lebih murah dan membantu rakyat membeli belah bagi menyambut raya dalam suasana yang meriah.
"Kita mahu memulihkan semula semangat keusahawanan ini kerana sudah dua tahun tidak ada program seperti ini di mana tahun ini ia dihidupkan semula," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Starvendors Mega Raya Fest 2022, di WTC, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Urusan dan Pengasas Starvendors Event Sdn Bhd, Ifa Raziah.
Noh Omar berkata, program seperti ini penting kepada usahawan dalam membina jaringan perniagaan dan saling membantu sesama mereka.
Terdahulu dalam majlis perasmian itu, Ifa Raziah berkata, matlamat penganjuran kali ini tetap sama seperti sebelumnya iaitu memberi platfom kepada usahawan tempatan untuk berniaga.
"Program ini bakal mencatat sejarah kerana akan berlangsung selama 75 jam tanpa henti.
"Kita juga akan menjelajah ke beberapa lokasi lain dalam negara ini selepas ini dan kembali ke WTC pada tahun depan," katanya.
Festival ini menyaksikan seramai 55 artis terkenal tanah air turut membuka tapak gerai dan menjual rangkaian produk mereka sendiri.
Antara artis terkenal yang membuat gerai jualan tahun ini ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk AC Mizal, Datuk Seri Vida, Datuk Seri Aliff Syukri, Hairul Azreen, Fazura, Fattah Amin, Shaheizy Sam, Syatilla Melvin, Datuk Jovian Mandagie dan ramai lagi.
Starvendor turut ditaja oleh Serifa Beauty, Secret Desire, Origina, SugarBomb, Todak, Doctor Kayu dan Semblance.
Pada 2019, penganjuran Starvendor mencatatkan sejarah selama 72 jam tanpa henti dengan jumlah pengunjung seramai 1.2 juta orang.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live