Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Pesanan Buat Penggemar Sardin, 8 Produk Ada Cacing Mati!

Elrafaei Sapi
29/06/2018 15:50 MYT
Penggemar sardin perlu lebih berhati-hati kerana 8 produk makanan dalam tin itu disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengandungi cacing mati.

KKM menerusi akaun Facebook, Public Health Malaysia memaklumkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang menjalankan pemantauan ke atas produk ikan dalam tin (sardin dan mackerel) yang diimport dan di pasaran tempatan.

Sebelum ini, dua jenama produk ikan sardin dikesan mengandungi cacing iaitu TL Tan Lung dan TLC,

Hasil pemantauan terkini mendapati 6 produk lagi di kesan mengandungi cacing yang mati iaitu jenama Cinta, Sea Fresh, HS Brand manakala ikan mackerel dalam sos tomato jenama King Cup, Bintang dan TC Boy.

"Syarikat terlibat telah diarahkan menarik balik produk tersebut dari pasaran.

"Tindakan Tahan, Uji dan Lepas terhadap pengimportan produk ikan dalam tin di semua pintu masuk negara," katanya.

KKM menyatakan produk ikan dalam tin membawa risiko kepada kesihatan yang amat rendah kerana cacing tersebut telah mati disebabkan proses memasak atau pengetinan.

Bagaimanapun, mana-mana pihak yang terbabit dalam mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya yang memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan.

Ia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi
#KKM #Sardin #Cacing