HIBURAN
Pesanan Ibu Buat Hati Nabil Ahmad Lebih Tenang - “Dia Pesan ‘Majikan’ Kita Adalah Allah…”
Penyampai radio 3 Pagi Era dan pengacara Nabil Ahmad berkongsi pesanan ibunya yang membuatkan dirinya berasa tenang ketika berdepan dengan ujian pada awal Mac lalu.
Rezeki Allah
Menurut Nabil, ibunya memintanya untuk tidak berasa bimbang dalam soal rezeki memandangkan ia semua datang daripada Allah.
“Saya ada mengadu kepada ibu minta dia doa. Kata ibu jangan risau. Dia pesan ‘majikan’ kita adalah Allah. Apa sahaja berlaku Allah tahu dan itulah yang terbaik.
“Saya tak pernah rasa ‘down’ seperti itu dan pesan ibu membuatkan saya tenang,” katanya kepada Gempak.
Imbau kembali
Dalam pada itu, pengacara program MeleTOP ini turut mengimbau kembali detik selepas dia dan dua rakan sepejuangan iaitu Radin dan Pak Azad menerima surat ‘direhatkan’.
“Kami sama-sama buat dan sama-sama tanggung akibat. Selepas dapat surat, kami menangis di depan pejabat sebelum pulang ke rumah.
“Ketika itu kami hanya mengenangkan nasib sendiri sebab semua orang ada tanggungjawab masing-masing.
“Apa yang berlaku adalah ketentuan Allah dan ujian buat kami di bulan Ramadan. Walau apa yang berlaku, kami sentiasa ada buat satu sama lain,” jelasnya.