WATCH

Pesawah pun mampu beli Yamaha YZF-R1.

Public Anonymous User 15/04/2018 | 03:30 MYT
Secara amnya ramai antara kita berfikiran hanya orang berkerjaya tinggi sahaja mampu memiliki jentera idaman.

Namun jangan disangka, orang kampung yang hanya mengerjakan sawah padi juga mampu membeli motosikal idaman biarpun berharga tinggi.

Melihat dari perwatakan Mohd Razak Mat Isa, 45, dari Sungai Daun Tengah, Alor Setar, Kedah, pasti ramai menyangka dia mempunyai pekerjaan dengan jawatan tinggi sehingga mampu memiliki motosikal idaman ramai iaitu Yamaha YZF-R1.

Namun tanggapan itu meleset sama sekali kerana dia hanya bekerja sebagai seorang pesawah biasa, namun berkat kerja keras dan menabung dia mampu memiliki motosikal idaman.

Yamaha YZF-R1 binaan 2008 miliknya tampak bersahaja dan masih mengekalkan ciri-ciri asal. Namun penukaran warna putih serta beberapa aksesori lain menjadikan jentera itu tampak menarik.

Ruangan enjin masih standard tetapi dengan penambahan alat khas digelar Quick Shifter menjadikan pengendalian lebih mudah. Ini kerana penunggang tidak perlu lagi menarik klac tangan ketika menukar gear dengan kelajuan tinggi.

Ekzos asal turut diusik apabila Mohd Razak menukarkannya kepada jenis Two Brothers Racing Exhaust USA yang menyalurkan bunyi garang, disamping turut meningkat sedikit kuasa jentera.

Jentera bersesaran 1,000cc itu tidak lengkap sekiranya tiada aksesori tambahan. Jadi pemiliknya menambah beberapa aksesori tambahan bagi menaikkan imej jentera.

Bagi menampakkan Yamaha YZF-R1 itu seolah kegunaan litar, tayar jentera digantikan dengan jenis Pirelli Diablo Supercosa, pemijak kaki menggunakan jenama Lightech.

Beberapa lagi aksesori dari Lightech digunakan seperti skru dan nat pada badan jentera dimana hampir keseluruhannya digantikan dengan jenama berkualiti itu.

Sudut tunggangan juga turut menerima usikan apabila menggunakan jenama Rizoma.

Biarpun hanya sedikit penambahan dan pengunahsuaian dilakukan, namun imej jentera ini cukup bersaing dengan motosikal SBK lain.