Berita
Pesawat Japan Airlines Terbakar Dipercayai Langgar Kapal Terbang Lain Di Airport Haneda
Jepun nampaknya tidak memulakan tahun 2024 dengan baik apabila sebuah lagi tragedi tidak diduga melanda negara Matahari Terbit itu.
Pada saat jumlah kematian gempa bumi yang melanda wilayah Ishikawa di pulau tengah utama Honshu menjadi 48 orang, dunia digemparkan dengan insiden sebuah pesawat terbakar di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.
Pesawat jenis Airbus dari Japan Airlines dilaporkan terbakar dengan anggota bomba dilaporkan sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran ketika ini.
Lapor NHK, Japan Airlines memaklumkan pesawat JAL 516 terbabit dalam perjalanan dari Lapangan Terbang New Chitose, Hokkaido menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda.
Api yang marak kelihatan menjulang keluar dari tingkap-tingkap dan bahagian atas pesawat ketika ia masih lagi dalam pergerakan, menurut laporan media tempatan dan imej yang kini tersebar di media sosial.
Dilaporkan, pesawat terbabit dipercayai terlanggar sebuah pesawat pengawal pantai Jepun sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda.
Ketika ini kerja-kerja pemadaman masih diteruskan.
Sementara itu, susulan insiden, semua pesawat yang sepatutnya mendarat di lapangan terbang itu dilencongkan ke lokasi lain.
Berdasarkan data daripada Flight Radar, penerbangan yang dijadualkan tiba sebelum dan selepas 6.30 petang (waktu tempatan) semuanya diarahkan mendarat di lapangan terbang lain.
Must-Watch Video