VIRAL

Peserta Miss Universe Latina, Laura Pérez Jatuh Dari Platform Pentas 10 Kaki Ketika Cuba Capai Mahkota!

Amri Hassan 21/07/2025 | 22:53 MYT
Malang tidak berbau! Itu yang terjadi kepada peserta Miss Universe Latina, Laura Pérez yang terjatuh dari ketinggian 10 kaki (kira-kira tiga meter) dari pentas utama ketika cuba menjayakan salah satu cabaran untuk ke pusingan akhir.

Pérez yang menjadi peserta kegemaran ramai itu menjadi individu pertama yang perlu menaiki platform setinggi 10 kaki dari lantai pentas, dengan memakai tali keselamatan perlu berjalan di laluan sempti sebelum melompat ke udara untuk mencapai mahkota yang tergantung dengan gaya dramatik di tengah-tengah pentas.

Namun, nasib tidak menyebelahi Pérez apabila tali keselamatan yang dipasang seakan-akan tidak berfungsi dan lompatannya tidak berjalan lancar sehingga akhirnya terjatuh dengan kuat di tengah pentas.

Kamera yang menyiarkan secara langsung majlis itu sempat merakam detik cemas apabila Pérez terbaring sambil menahan kesakitan, wajahnya jelas menunjukkan rasa perit sebelum dihampiri oleh hos rancangan terbabit, Jacky Bracamontes.

“Ay, Laura, awak okay? Boleh bangun? Tolong panggil pasukan perubatan sekarang.

“Kami akan pastikan dia dirawat. Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan,” kata Jacky yang kelihatan tergamam.

Juri pertandingan itu, Fabián Ríos turut naik ke pentas memberikan bantuan sementara pasukan perubatan tiba.

Bracamontes kemudian menyapa penonton; “Kita akan berhenti seketika dan kembali selepas ini."

Selepas siaran disambung, pihak produksi mengambil keputusan untuk membatalkan baki cabaran atas faktor keselamatan. Namun, sebelum episod berakhir, senarai lapan finalis didedahkan dan nama Laura Pérez antara yang tersenarai.

Peminat ratu cantik kelahiran Cuba itu membanjiri media sosial dengan ucapan semangat dan doa.

"Undi besar-besaran untuk ratu kita. Semoga cepat sembuh.

"Berdoa agar dia dapat bertanding esok.

"Awak sangat kuat, Laura. Keselamatan nombor satu!” tulis beberapa warganet di media sosial.

Setakat tamat siaran, masih belum ada maklumat rasmi mengenai kecederaan Pérez atau kemampuannya untuk bertanding dalam pentas akhir.

Selain Laura Pérez, finalis lain yang akan merebut mahkota Miss Universe Latina ialah Osmariel, Jelly, Yamilex, Génesis, Gemmy, Andrea dan Ediris.
#Viral #Pentas #Jatuh #Miss Universe #Platform #Latina #Laura Perez