Menyifatkan Konsert Fantasia Bulan Salju yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini sebagai pintu pembuka jalan beraksi di atas panggung, Search mengumumkan bakal bertemu peminat mereka di Melbourne, Australia pada 14 Oktober depan.

Search dibawa secara eksklusif oleh Warong Mummy Entertainment ke Melbourne, Australia.

“Dengan konsep sama Konsert Fantasia Bulan Salju pula, kami akan bertemu peminat di Melbourne, Australia pada 14 Oktober ini.

“Search akan beraksi di Festival Hall yang menjadi tempat banyak band antarabangsa bermain sebelum ini.

“Setakat kami umumkan projek ini, respons yang diterima sangat positif kerana peminat daripada Sydney misalnya juga ada bertanya dan ingin hadir,” kata Search saat ditemui sewaktu sidang akhbar Konsert Fantasia Bulan Salju yang diadakan di Le Meridien, Petaling Jaya, Selangor.



Sementara siri konsert sama akan bertemu peminat di Singapura pada 16 Januari tahun hadapan.

Namun sebagai permulaan, Search yang dianggotai Amy, Man Kidal, Nasir dan Hillary akan beraksi di Arena of Stars, Resort World Genting pada 12 Ogos 2023.

Peminat masih boleh mendapatkan tiket pada bahagian Rock Zone berharga RM128 boleh dibeli menerusi sesawang rwgenting.com dan my.bookmyshow.com.