Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Phuket Catat Kes COVID-19 Pertama Selepas Dibuka Kepada Pelancong

Azwa Rahman
08/07/2021 11:10 MYT
Pulau peranginan terkenal Thailand, Phuket merekodkan kes pertama jangkitan COVID-19 dari luar negara selepas dibuka kepada pelancong asing pada minggu lalu.

Lelaki yang positif COVID-19 itu dikenal pasti berasal dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang tiba di Phuket pada Selasa.

Menurut Ketua Pejabat Kesihatan Umum Phuket, Koosak Kookiatkul, terdapat dua pesakit baharu COVID-19 di pulau peranginan itu ketika ini.

“Satu daripadanya merupakan rakyat Thailand dan seorang lagi dari UAE.

“Lelaki dari UAE itu kini menjalani rawatan di hospital dan semua kontak rapatnya sudah menjalani proses kuarantin dan akan dipantau dari semasa ke semasa bagi mengelak penularan jangkitan,” jelasnya lagi.

Menurut Pejabat Hal Ehwal Phuket, pesakit lelaki tersebut menaiki penerbangan dari Dubai ke Phuket menerusi penerbangan Emirates EK378 yang membawa seramai 14 penumpang.


Sumber: Utusan Malaysia
#Vaksin #Kes COVID-19 #Phuket Thailand
;