Laman Utama

"Pihak Berwajib, Sediakan Garis Panduan Konsert" - Ustaz Don Daniyal

gempak
Shahrin Zulkifle
30/08/2022
08:00 MYT
Sponsor Banner
"Pihak Berwajib, Sediakan Garis Panduan Konsert" - Ustaz Don Daniyal
Pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal mencadangkan pihak berwajib untuk mengeluarkan satu garis panduan mengenai penganjuran konsert berbanding mengharamkam terus penganjuran tersebut terutama yang melibatkan persembahan artis atarabangsa.
Menurut Don, berhibur bukanlah satu kesalahan tetapi dengan adanya garis panduan yang dikeluarkan pihak berwajib mampu memberikan pencerahan mengenai isu yang sedang diperkatakan di media sosoal ketika ini.
“Sebagai umat Nabi Muhammad, kita tak boleh terus mencari salah atau menjatuhkan sesuatu hukum kepada perkara yang tidak diselidik terlebih dahulu.
“Saya tidak boleh kata penganjuran konsert adalah berdosa, kalau saya kata begitu maknanya konsert nasyid pun berdosa.
“Apa yang boleh saya cadangkan, pihak-pihak berwajib seperti JAWI dan JAKIM hendaklah mengeluarkan garis panduan ketika menghadiri konsert agar penonton yang datang boleh mengikuti terutamanya orang islam.
“Malah Malaysia sendiri telah mengeluarkan hukum mendengar muzik itu tidak salah, kerana hukumnya adalah harus,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Geng Ta’alim di Muzium Kesenian Islam Malaysia, pada Selasa.
Terdahulu, pendakwah PU Syed menyatakan bantahan terhadap konsert artis antarabangsa yang bakal diadakan di Malaysia yang dikatakan bakal membawa budaya hedonisme kepada rakyat di negara ini.
Meneruskan hujah, Don berkata sekiranya penganjuran konsert dibatalkan sama ada dalam atau luar negara, hal tersebut bakal menggangu ekonomi penggiat seni terutamanya golongan penyanyi.
Malah, menurut Don lagi, golongan artis dan asatizah boleh bekerjasama dalam membangunkan sektor seni negara dengan berlandaskan hukum Islam.
“Konsert ini kan antara punca pendapatan artis terutama penyanyi, kalau kita batalkan konsert maca mana mereka ingin mencari punca pendapatan.
“Orang lain mungkin boleh kata suruh cari perkerjaan lain, cakap memang mudah, sebab bukan terkena pada mereka yang berkata.
“Jangan pernah ada bias, golongan artis dan asatizah seeloknya bersahabat baik kerana mereka saling memerlukan antara satu sama lain untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian terhadap sesuatu isu.
“Negara ini juga adalah sebuah negara yang majmuk, tidak elok jika kita batal konsert hanya kerana mahu menyelamatkan umat Islam sedangkan negara kita mempunyai pelbagai rakyat.
“Oleh itu, perlu berfikir secara menyeluruh tanpa mengetepikan mana-mana kaum, agama dan sensitiviti,” tambahnya.
Geng Ta’alim bakal bersiaran bermula 5 September di Astro Oasis (Saluran 106) setiap Isnin jam 7:30 malam.
Geng Ta’alim bakal membawa perkongsian ilmu dan pengajaran berdasarkan hadis-hadis Rasullah S.A.W untuk dijadikan panduan hidup masyarakat.
Program terbitan Celebrate TV itu bakal bersiaran selama 10 episod dan dihoskan oleh Ustaz Don Daniyal.
Geng Ta’alim turut menampilkan selebriti Nabil Ahmad, Saharul Ridzwan, Ashraf Muslim, Amar Asyraf dan Zaf V.E sebagai tetamu jemputan dalam program tersebut.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024