“Pihak Datuk Amy Menuntut Beberapa Perkara Tapi…” - Peguam Shila Amzah
Peguam kepada penyanyi, Shila Amzah iaitu Nini Adila Wan Omar mengesahkan anak guamnya telah menerima surat tuntutan daripada penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search.
Menurut Nini, LOD tersebut mengandungi beberapa tuntutan yang tidak dapat didedahkan buat masa ini.
“Pihak Datuk Amy menghantar LOD kepada Shila Amzah, anak guam saya menuntut beberapa perkara yang saya tidak dapat dedahkan lagi buat masa sekarang kerana masih di peringkat awal.
Saya telah dilantik sebagai peguam Shila Amzah bagi mengendalikan kes ini. Buat masa sekarang, pihak saya sedang mendapatkan keterangan dan bukti-bukti lanjut dari pihak Shila Amzah untuk kami memjawab kepada semua dakwaan-dakwaan dan tuntutan dalam LOD tersebut. Apa yang pasti, pihak kami akan membalas kepada LOD tersebut,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Nini Adila juga berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan baik antara kedua-dua pihak tanpa menjejaskan hubungan profesional mahupun peribadi.
Dia turut menyeru semua pihak agar memberi ruang dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan, selain mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh merumitkan keadaan.
“Saya masih dalam proses dapatkan arahan dari anak guam saya. Apa-apa pun, sebagai peguam, saya berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin antara kedua pihak.
“Seperti yang dinyatakan oleh Shila, tempoh ini adalah suatu tempoh yang sukar untuk beliau. Jadi untuk tidak mengeruhkan keadaan, saya mengharapkan kerjasama dari semua pihak untuk beri ruang kepada anak guam saya dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Pada masa yang sama, saya menyeru semua pihak untuk berhenti membuat sebarang spekulasi yang boleh merumitkan lagi keadaan,” tambahnya.
Sebelum itu, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, membuat laporan polis selepas mendakwa seorang penyanyi legenda menyerangnya di sebuah acara persembahan disertai mereka.
Pada 10 Julai lalu, Shila membuat laporan polis dan mengesahkan Amy yang juga bapa kepada pelakon, Nabila Huda adalah individu dimaksudkan.
Susulan itu, polis sudah mengambil keterangan daripada kedua-dua belah pihak.
Berdasarkan siasatan awal, punca ketegangan itu disebabkan Amy tidak berpuas hati kerana Shila didakwa mencampuri urusan keluarganya.