Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pilih Orang Biasa, Azrel Ismail Rancang Kahwin Tahun Depan - "Bercinta Dengan Artis Banyak Masalah Kerana..."

Syafiqah Jalal
14/05/2023 11:27 MYT
Pelakon Azrel Ismail mengakui merancang untuk menamatkan zaman bujangnya pada tahun hadapan.

Azrel, 38, memberitahu dia kini sedang menjalinkan hubungan dengan wanita yang tidak terlibat dalam industri seni hiburan sejak setahun lalu.

"Kami sudah menjalinkan hubungan cinta kurang setahun yang lalu. Saya pun di usia sekarang sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga jadi kami berbincang untuk membawa hubungan percintaan yang terjalin ke fasa perkahwinan. Insya-Allah, jika tiada aral pada tahun depan.

"Saya belum bersedia untuk perkenalkan dirinya. Apa yang boleh saya kata dia berusia 20-an dan hanya wanita biasa iaitu bukan kalangan artis, tidak bertudung dan berasal dari Kuala Lumpur," katanya kepada Astro Gempak.

Azrel ditemui ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Multimedia serta pelancaran treler filem War On Terror KL Anarki yang berlangsung di sebuah hotel, semalam.

Azrel berharap agar hubungan yang terjalin sampai ke jenjang pelamin selepas mengaku sebelum ini percintaannya dengan rakan artis tidak menjadi.

"Berdasarkan pengalaman masa lalu, hubungan dengan rakan artis ini banyak masalah dan tidak berjalan lancar seperti diharapkan untuk ke fasa lebih serius.

"Jadi saya berharap hubungan dengan wanita berlainan bidang ini berhasil untuk saya tamatkan zaman bujang," ujarnya.

Azrel bagaimana merahsiakan gerangan rakan artis yang pernah menjadi kekasihnya sebelum ini.

Namun sebelum ini, Azrel sering dikaitkan dengan artis wanita dan cinta lokasi sebelum ini. Antara artis yang pernah dikaitkan bercinta dengannya ialah Ruhainies dan Sharifah Husna.
;