HIBURAN

Pilih Pendekatan Low-Key, Naki Mahu Dikenali Melalui Muzik - “Biarlah Orang Lebih Kenal Suara…”

Asyraf Roslan 12/03/2025 | 07:55 MYT

Penyanyi yang semakin meningkat naik, Naki, mengakui masih berasa kurang yakin dengan diri sendiri, terutama ketika berhadapan dengan orang ramai semasa membuat persembahan.

Menurutnya, pengalaman pernah memiliki tubuh badan yang besar menyebabkan dia lebih selesa jika peminat hanya mengenali karyanya berbanding dirinya.
“Masih lagi rasa insecure sebab dulu saya pernah berbadan besar dan sekarang masih nak biasakan diri. Sekarang saya makin selesa.
“Kalau dahulu saya nak menyanyi memang tak plan nak tonjolkan muka, biarlah orang lebih kenal suara dan lagu saya sahaja.
“Saya memilih untuk tidak menonjolkan muka saya kerana saya percaya bahawa karya seni, terutamanya lagu, adalah sesuatu yang lebih penting daripada penampilan fizikal. saya mahu pendengar mengenali saya melalui lagu-lagu saya dan merasai hubungan yang mendalam dengan muzik yang saya hasilkan,” katanya kepada Gempak.
Pelantun lagu Masa itu juga berpendapat bahawa rupa paras bukanlah faktor utama untuk berjaya dalam industri muzik sebaliknya kualiti karya yang dihasilkan adalah lebih penting.
“Bagi saya, rupa paras bukanlah fokus utama, tetapi lebih kepada bagaimana lagu-lagu itu dapat memberi kesan kepada pendengar. saya lebih suka menjadi seorang penyanyi yang low-key, di mana orang boleh mengenali saya bukan kerana penampilan saya, tetapi kerana suara dan muzik yang saya bawa,” tambahnya. .

Muzik Universal Naki

Dalam perkembangan lain, Naki atau nama sebenarnya Mohd Naqiuddin Zainal Abidin, 29, meluahkan rasa syukur kerana karyanya kini mula mendapat perhatian peminat di Malaysia.

Dikenali dengan muzik yang mempunyai elemen healing, anak jati Sarawak itu berharap agar karyanya dapat diterima bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.

“Ramai budak-budak gen z sekarang memang suka lagu- lagu healing macam lagu vibe-vibe di Indonesia, jadi saya bawa genre itu disini supaya orang kita boleh dengar dan peminat muzik di negara jiran juga boleh layan lagu-lagu saya.
“Kalau tahu saya daripada dahulu, memang saya suka bereksperimen dengan muzik saya, kalau dari segi lirik saya suka bahasa-bahasa sastera, kalau untuk melodi saya suka macam healing song dan saya buatkan sebegitu sebab saya mahu semua orang dapat layan lagu saya,” katanya.
Naki memulakan langkah dalam industri muzik pada tahun 2023 dengan lagu pertamanya, Lelah, dan terus berkembang sebagai penyanyi serta pencipta lagu yang semakin mendapat perhatian.

#Penyanyi #Masa #Naki