Penyanyi Faizal Tahir membuatkan anak-anak Syria di kem pelarian Lubnan berasa sayu apabila mendengar surah Al-Fatihah yang dialunkan oleh dirinya.

Menerusi laman sosial Instagram Cinta Syria Malaysia yang membawa Faizal ke Lubnan, mereka berkongsi satu video ketika majlis khatam Al-Quran untuk tatapan umum.

“Hari terakhir #wintermissioncsm di Lubnan, ketika Faizal Tahir membuka majlis khatam Al-Quran bersama anak-anak Syria di kem Al Jasmine, Lubnan.

Ketika Faizal Tahir membuka majlis khatam Al-Quran bersama anak anak Syria di kem Al Jasmine, Lubnan dengan bacaan surah Al Fatihah, ada di antara kami yang mengalirkan air mata. Ianya memberi syahdu, kami pakat berdebar belaka. Boleh kata semuanya mengetap gigi menahan diri supaya tidak tertumpah segala tangis yang beriya. Dikelilingi anak anak syurga ini memberi satu aura yang sangat berbeza. Ia nyaman, namun disebalik senyum mereka ini kami tahu derita besar yang melanda. Ada yang sebatang kara, hidup dengan entah siapa, ada juga yang kehilangan berbagai deria, hancur keluarga dan trauma dengan berbagai hal. Mereka datang berjalan ke masjid dalam cuaca sejuk untuk mengagungkan ayat suci. Dan kami menyambut mereka dengan sedikit hadiah serta sumbangan. Iya kawan-kawan, yang kalian hulur itulah kami hantar ke sini. Syukur, semoga Allah sentiasa memelihara mereka, juga kalian yang sentiasa bersama kami demi memberi bantuan kepada mereka ini. Terima kasih semua, doakan perjalanan kami ke kem-kem di Turki pula.

A post shared by CINTA SYRIA MALAYSIA-CSM® (@cintasyriamalaysia) on

“Dikelilingi anak-anak syurga ini memberi satu aura yang sangat berbeza. Ia nyaman namun disebalik senyum mereka ini kami tahu derita besar yang melanda,” tulis pengendali akaun terbabit.

Menerusi video berdurasi lebih dua minit itu, Faizal mengetuai majlis tersebut sambil mengalunkan bacaan ayat-ayat Al-Quran.

Bacaan tersebut kemudiannya diikuti oleh anak-anak Syria yang turut sama menyertai majlis tersebut.

Meninjau ruangan komen, rata-rata wargamaya tersentuh dengan aksi Faizal dan ramai yang mendoakan agar perjalanan pulang mereka dipermudahkan.

Malah, tidak kurang juga ada yang secara sukarela mahu menyertai misi kemanusiaan seperti yang dilakukan oleh Faizal.

Kunjungan Faizal ke misi musim sejuk ke Lubnan turut disertai selebriti lain seperti Aizat Amdan dan Noh Salleh.