Hiburan
Pimpin Majlis Khatam Al-Quran, Faizal Tahir Buat Anak-Anak Syria Sayu
Penyanyi Faizal Tahir membuatkan anak-anak Syria di kem pelarian Lubnan berasa sayu apabila mendengar surah Al-Fatihah yang dialunkan oleh dirinya.
Menerusi laman sosial Instagram Cinta Syria Malaysia yang membawa Faizal ke Lubnan, mereka berkongsi satu video ketika majlis khatam Al-Quran untuk tatapan umum.
“Hari terakhir #wintermissioncsm di Lubnan, ketika Faizal Tahir membuka majlis khatam Al-Quran bersama anak-anak Syria di kem Al Jasmine, Lubnan.
“Dikelilingi anak-anak syurga ini memberi satu aura yang sangat berbeza. Ia nyaman namun disebalik senyum mereka ini kami tahu derita besar yang melanda,” tulis pengendali akaun terbabit.
Menerusi video berdurasi lebih dua minit itu, Faizal mengetuai majlis tersebut sambil mengalunkan bacaan ayat-ayat Al-Quran.
Bacaan tersebut kemudiannya diikuti oleh anak-anak Syria yang turut sama menyertai majlis tersebut.
Meninjau ruangan komen, rata-rata wargamaya tersentuh dengan aksi Faizal dan ramai yang mendoakan agar perjalanan pulang mereka dipermudahkan.
Malah, tidak kurang juga ada yang secara sukarela mahu menyertai misi kemanusiaan seperti yang dilakukan oleh Faizal.
Kunjungan Faizal ke misi musim sejuk ke Lubnan turut disertai selebriti lain seperti Aizat Amdan dan Noh Salleh.