Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam menganggap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sebagai gagal.

Menurut Dr Hanafiah Bashirun, kegagalan itu dilihat berlaku susulan Kadar Kebolehjangkitan (R-Naught) COVID-19 meningkat disertai dengan peningkatan kes melebihi 3,000.

“Jujurnya, saya kena akui PKP 2.0 ini boleh kita anggap sebagai gagal, ini terbukti dengan nilai kadar kebolehjangkitan (R-Naught) meningkat disertakan dengan peningkatan kes.

“Kita gagal melandaikan kes, malah bawah daripada 1,000 kes pun kita hanya dapat sekali sahaja... selepas itu kes terus naik 2,000 dan akhir-akhir ini kes dah naik kepada 3,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menggariskan alasan kenapa PKP 2.0 dianggap gagal, Dr Hanafiah berkata, terdapat kesilapan yang berlaku melibatkan kebenaran beberapa aktiviti sosial serta pembukaan institusi pendidikan.

“Kesilapan-kesilapan yang telah berlaku nombor satunya kita membenarkan kenduri kahwin diadakan pada ketika nilai kes terlalu tinggi dan ini turut disumbangkan dengan pembukaan sekolah.

“Rakyat Malaysia tidak bersedia untuk mematuhi SOP (prosedur operasi standard) asas COVID-19 iaitu pemakaian pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Jika kita boleh lakukan kedua-dua perkara ini tidak kisahlah dalam persekitaran macam mana sekalipun kenduri kahwin, sekolah dan sebaginya sepatutnya kita boleh berjaya kawal jangkitan COVID-19," kata Dr Hanafiah.

Sementara itu, beliau berkata, SOP yang ditetapkan ketika PKP 2.0 bukan sahaja mengelirukan masyarakat, tetapi juga petugas kesihatan.

“Saya rasa bukan sekadar rakyat Malaysia keliru, tetapi doktor pun keliru, saya sendiri pun keliru.

“Isunya sekarang apabila kita beri satu penjenamaan kepada PKP, contohnya kita berikan nama PKP 1.0 itu sebagai ‘PKP lockdown' di mana semua terhenti, ekonomi terhenti, sosial terhenti.

“Jadi apabila kita buat sesuatu penambahbaikan atau perubahan, kita namakan dia ‘PKP Ekonomi’, kita benarkan ekonomi itu berjalan, tetapi sosial berhenti dan kalau kita buat penambahbaian dalam PKP Ekonomi itu kita namakannya ‘PKP Ekonomi dan Sosial’ kita benarkan pula kegiatan sosial,” ujarnya.

Tegas beliau lagi, kekeliruan berkenaan menyebabkan kadar pematuhan SOP itu rendah dalam kalangan masyarakat.

“Eloknya kita buat satu buku panduan SOP, semua ada di situ. Jika kita umum sahaja ‘PKP Lockdown’ semua orang faham itu apa. Jika ‘PKP Ekonomi’ semua orang faham apa itu... orang tahu apa yang boleh dan apa yang tidak.

“Sekiranya jika kita rojakkan semua... PKP 1.0, PKP 2.0 dalam PKP 2.0 itu berubah aktiviti ekonomi dan sosial semua orang akan jadi keliru serta apabila jadi keliru macam ini untuk mematuhi SOP itu sangat rendah," jelas beliau lagi.