Hiburan
PKP 2.0; Sharnaaz Ahmad Mohon Henti Tuding Jari - "Nak Salahkan Covid ke? Dia Virus & Sejenis Makhluk Allah"
Pelakon Sharnaaz Ahmad, 36, menyatakan dia sudah menjangka dari awal lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula buat kali kedua.
Menurut Sharnaaz, ini bukan masa untuk menuding jari mencari kesalahan tetapi sebaliknya lihat pada diri sama ada kita sendiri patuh dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan.
"13 Januari kita akan PKP 2.0, salah siapa? Tak payah nak salahkan pilihan raya. Kita tanya dekat diri, adakah kita jadi warganegara yang patuh dengan SOP?
"Saya sendiri belum tentu menjadi seorang yang mematuhi SOP sepenuhnya. Itu saya cakap jujur.
"Yang musibat pergi bercuti, yang musibat pergi berjimba, maaf itu saya tak tau nak cakap apa. Benda ini kita dah boleh jangka. Mula dari posting sejak Krismas, confirm 2021 akan PKP.
"Terima kasih kepada kerajaan sebab buat PKP. Tapi sepatutnya dari awal lagi tak payah buka sempadan masa perayaan dan cuti sekolah. Saya sendiri tak faham kenapa kena buka, dah setahun kita bercuti.
"Nak salahkan Covid ke? Dia virus dan sejenis makhluk Allah. Dia bukan pergi sekolah. Yang ambil diploma, sijil, ijazah itu kita. Kita bukan cakap pandai, kita cakap dekat diri sendiri. Dah pernah kena tahun lepas, tahun ini kena lagi," katanya menerusi sebuah video di Instagram (IG).
Dalam pada itu, pelakon filem Polis Evo 3 memohon agar semua pihak bersabar dalam menempuh dugaan Covid-19 serta patuh dengan SOP.
"Saya nak pesan, dua minggu ini kita ikut SOP dengan duduk di rumah. Semoga kita sama-sama sabar, reda dengan ujian 2021 ini pula. Semoga kita sama-sama kuat harungi Covid ini.
"Tolong hormati badan uniform dan barisan hadapan (frontliners) yang akan bekerja untuk beberapa bulan lagi," katanya lagi.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk melaksanakan PKP selama 14 hari berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam Rabu ini hingga 26 Januari depan.
Hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.
Must-Watch Video