Berita
PKP: Bermula Hari Ini, Aktiviti Jual Beli Makan Beroperasi 6AM hingga 8PM, Jangan Lupa Hanya Boleh Tapau Ok!
Bermula 12.01 malam tadi, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula di enam buah negeri termasuk Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
Sepanjang PKP yang akan berlangsung dua minggu sehingga 26 Januari 2021, masyarakat wajib mematuhi semua SOP yang dikeluarkan.
Salah satunya adalah SOP dari segi aktiviti jualan makanan yang perlu dipatuhi selama 14 hari ini.
Memetik laporan Berita Harian, aktiviti jualan makanan di restoran, kedai, gerai, kenderaan saji (food truck) dan penjaja tepi jalan di negeri yang terbabit Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kebenaran sama turut diberikan kepada penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan di tepi jalan, kios, kedai runcit serta kedai serbaneka.
"Aktiviti pembekalan atau penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran, bermula jam 6 pagi hingga 8 malam.
"Hospital dan klinik pula dibenarkan beroperasi hingga 24 jam, manakala kedai farmasi dan kedai keperluan harian boleh beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.
"Stesen minyak dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam, kecuali stesen minyak di lebuh raya boleh beroperasi 24 jam," katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.
Bagi pasar harian dan pasar tani, beliau berkata, kerajaan membenarkan ia beroperasi mulai jam 7 pagi hingga 2 petang.
Pasar borong pula boleh beroperasi dari jam 12.01 tengah malam hingga 6 pagi dan dari jam 11 pagi hingga 4 petang.
"Klinik haiwan dan kedai makanan haiwan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.
"Kedai dobi kecuali kedai dobi layan diri pula dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam," katanya.
Kredit Foto: Free Malaysia Today