Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

PKP: Selepas Selangor, Sekolah Di Kuala Lumpur & Putrajaya Juga Ditutup

Zulaikha Yusof
05/05/2021 12:47 MYT
Semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup esok dan lusa.

KPM menerusi kenyataan hari ini memutuskan demikian berikutan penutupan semua sekolah di bawah KPM di Selangor pada tarikh sama.

"Keputusan KPM untuk menutup sekolah adalah bagi mengurangkan pergerakan dalam komuniti dan pergerakan antara negeri memandangkan kedudukan kedua-dua wilayah ini yang bersempadanan dengan daerah-daerah dalam negeri Selangor," menurut kenyataan itu.

KPM memaklumkan dalam tempoh penutupan tersebut, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan mengikut kesesuaian guru dan murid.

Sementara itu, pergerakan pulang murid asrama sempena cuti hari raya Aidilfitri, pihak sekolah perlu mengekalkan jadual pergerakan pulang yang ditetapkan untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan murid dan ibu bapa atau penjaga.

Sebelum ini, KPM turut memaklumkan semua sekolah di bawah kementerian itu di Selangor akan ditutup pada tarikh sama berdasarkan syor Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Selangor (JKKNS).

Keputusan itu juga dibuat setelah mengambil kira tempoh persekolahan yang hanya berbaki dua hari sebelum sekolah ditutup sempena cuti Aidilfitri tahun ini.

BACA: Semua Sekolah Di Selangor Ditutup Mulai Esok


Sumber: Bernama
#sekolah #Kuala Lumpur #Putrajaya #PKO