Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

PLKN 3.0 Dilaksanakan Bermula Januari 2025, Sasar Peserta Berusia 16 Hingga 35 Tahun

Awani
26/10/2024 12:49 MYT
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Perlaksanaan penuh 2026


Beliau berkata program rintis itu melibatkan kira-kira 500 peserta di dua kem tentera, di Kuala Lumpur dan Pahang sebelum diperluaskan ke 13 kem di seluruh negara menerusi pelaksanaan penuh pada 2026.

"Pada tahun hadapan, kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk memulakan PLKN 3.0. Kalau ikut perancangan awal (bermula) pertengahan 2025 tetapi terdapat keperluan untuk dilaksanakan lebih awal.


"Kita tumpukan di dua kem untuk dijadikan projek perintis PLKN 3.0 sebelum dilaksanakan secara lebih besar pada Jun tahun hadapan," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Jiwa Murni Peringkat Melaka yang turut dihadiri Panglima 3 Divisyen Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin.

Sasar usia 16 hingga 35 tahun


Adly berkata jumlah peserta PLKN 3.0 akan ditambah pada pengambilan Jun dengan menyasarkan peserta berusia 16 hingga 35 tahun dalam kalangan pelajar tingkatan empat, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Terdahulu, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata menerusi Projek Jiwa Murni di negeri ini, sebanyak 10 rumah golongan asnaf dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibaik pulih dalam tempoh Januari hingga Oktober lepas dengan peruntukan RM138,500.

Beliau berkata pembaikan berkenaan melibatkan lima rumah di Parlimen Alor Gajah dan lima lagi di Parlimen Tangga Batu.

"Program Jiwa Murni ini dilaksanakan selari dengan pengukuhan Teras 4 Pelan Strategik MINDEF 2021-2025 iaitu memperkukuh kerjasama awam dan tentera serta perintah ulung Panglima Tentera Darat di dalam Teras Kelima iaitu keutuhan hubungan tentera dan awam.

"Projek ini wajar diteruskan sebagai sebahagian daripada inisiatif MADANI Kementerian Pertahanan, sejajar usaha kementerian mengangkat visi Malaysia yang 'ihsan', iaitu bersama-sama dengan agensi lain memperjuang keperluan masyarakat yang kurang bernasib baik terutamanya di luar bandar," katanya.

Sumber: Awani menerusi Bernama
#PLKN #Januari 2025 #PLKN 3.0
;