HIBURAN
PM Beri Sumbangan, Amir Raja Lawak: “Beliau Kata Saya Perlu…”
“PM kata saya perlu sabar, Insya-Allah semua akan baik-baik sahaja," itu antara nasihat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dikongsikan pelakon dan pelawak popular, Amir Raja Lawak.
Amir menerima kunjungan Perdana Menteri di kedai makan ayam goreng miliknya di Stadium Sultan Muhammad IV pada Sabtu.
Katanya, dia teruja dan tidak menyangka hasrat untuk bertemu Perdana Menteri yang dikongsikan di laman sosial, Facebook, semalam, mendapat perhatian seterusnya memberi peluang kepadanya bertemu mata dengan pemimpin negara itu.
"Selain tanya berkaitan isu gaji, Perdana Menteri juga turut bertanya khabar keadaan ayah saya yang menjalani pembedahan kali kedua akibat kanser usus di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, hari ini.
"Kunjungan Perdana Menteri bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, hari ini, sejujurnya memberikan saya semangat untuk terus kuat menghadapi cabaran hidup. Malah, saya turut menerima sumbangan kewangan daripada kedua-dua pemimpin ini.
"Sumbangan yang diberikan akan saya gunakan sebaiknya terutama untuk membantu keluarga termasuk menyediakan keperluan termasuk ubat-ubatan untuk bapa saya yang sakit," katanya.
Amir berkata, ada saja pihak yang menyuruhnya membuka tabung untuk meminta bantuan namun dia menolak langkah itu kerana mengakui dia masih kuat untuk bekerja, cuma memohon keadilan untuk dirinya .
Media sebelum ini melaporkan, Amir, 36, mendedahkan dirinya disaman melalui kenyataan rasmi Awesome Broadcasting Sdn. Bhd. (Awesome TV) yang memfailkan saman fitnah terhadapnya bersama dua pelawak lain.
Sebelum ini, Amir menuntut bayaran tunggakan berbaki RM18,000 bagi pembabitanya dalam sebuah program televisyen di stesen terbabit.
Seorang lagi pelawak, Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad (Mamak Puteh), turut mendakwa menghadapi masalah sama selepas menunggu lebih tiga tahun, manakala seorang lagi individu terbabit ialah Abu Musarrif Abu Bakar (Abu Mamu).
-BERITA HARIAN-
Must-Watch Video