PM China Diberi Sambutan Rasmi Di Putrajaya
Awani
19/06/2024 04:13 MYT
19/06/2024 04:13 MYT
Perdana Menteri China, Li Qiang, yang dalam rangka kerja ke Malaysia, diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
Li, yang tiba di Malaysia malam tadi, disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 9.30 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Li kemudian memeriksa barisan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Adibadiuezshah Ahmad.
Turut hadir pada majlis tersebut, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.
Li dan Anwar kemudiannya mengadakan pertemuan dua hala untuk membincangkan hal berkaitan hubungan antara Malaysia dan China serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin itu turut dijadual menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama.
Ia termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China.
Li yang memegang jawatan itu pada Mac tahun lepas tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pukul 8.44 malam tadi.
Pada 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi 15 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (AS$98.90 bilion).
Sumber - Awani