Laman Utama
PM Pulih Dari Kanser Sepenuhnya – “Alhamdulillah Saya Disahkan Pulih, Jika Anda Sedang Berjuang Melawan Kanser Kuatkan Semangat!”
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan dirinya kini bebas dan pulih sepenuhnya dari penyakit kanser.
Berita tersebut dikongsi beliau menerusi laman sosial rasmi Facebook (FB) sempena Hari Kanser Sedunia, semalam (Khamis).
Selain mengumumkan tentang kesihatan terkini, Muhyiddin turut memberikan kata-kata semangat buat pejuang kanser.
“Jika anda sedang berjuang melawan kanser, kuatkan semangat - anda bukan menghadapinya seorang diri.
“Sempena Hari Kanser Sedunia hari ini, saya mengajak seluruh masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing dalam mencegah dan mengawal penyakit ini. Amalkan gaya hidup sihat,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut menyarankan orang ramai supaya melakukan ujian saringan kesihatan secara berkala bagi mengelakkan kanser dikesan lewat.
Saranan tersebut dibuat kerana sebagai bekas pejuang kanser, beliau sudah melalui pahit getir berdepan penyakit yang boleh meragut nyawa itu.
"Alhamdulilah, saya bersyukur kepada Allah SWT setelah menjalani rawatan, saya telah disahkan pulih.
"Kata-kata perangsang dan dorongan keluarga menguatkan semangat saya untuk terus berjuang dan menghadapi penyakit ini.
"Selain rawatan yang komprehensif, pengesanan awal serta tindakan mendapatkan rawatan dengan cepat, dapat meningkatkan peluang kepada pesakit untuk sembuh," katanya.
Jelas beliau, sekiranya disahkan menghidap kanser, orang ramai perlu segera melakukan rawatan dan jangan bertangguh atau takut.
"Apa jua penyakit, insya-Allah boleh dirawat dengan baik, sekiranya dikesan di peringkat awal dan dirawat dengan betul.
"Ramai pesakit kronik termasuk kanser yang saya kenali, berjaya melawan penyakit ini dan kini menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya sambil mendoakan kesihatan semua rakyat Malaysia.
Selaku bekas pesakit kanser, saya memahami keperitan dan kesukaran yang ditanggung dalam melawan penyakit ini....Posted by Muhyiddin Yassin on Thursday, 4 February 2021
Must-Watch Video