Berita

PM Tidak Puas Hati Insiden Buli Siber, Mahu MCMC & PDRM Ambil Tindakan Tegas

gempak
Ainun
18/07/2024
11:25 MYT
Sponsor Banner
PM Tidak Puas Hati Insiden Buli Siber, Mahu MCMC & PDRM Ambil Tindakan Tegas

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya hari ini melahirkan rasa kesal terhadap insiden buli siber yang semakin parah ketika ini sehingga menyebabkan kematian.

Perdana Menteri Tidak Berpuas Hati

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas kepada pelaku.

“Perdana Menteri juga telah menyatakan rasa cukup tidak puas hati beliau terhadap kejadian buli siber. Beliau meminta MCMC dan PDRM ambil tindakan sangat tegas dan kita berusaha untuk menghentikan buli siber daripada berterusan,” katanya pada sidang media hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, pempengaruh media sosial, A Rajeswary, 30, didakwa membunuh diri yang dipercayai ada kaitan dengan tekanan dihadapinya kerana menjadi mangsa buli siber.
Mendiang yang lebih dikenali sebagai Esha di media sosial TikTok ditemukan meninggal dunia di kediaman di sebuah kondominium di Setapak pada Jumaat minggu lalu.

Langkah Perlu Diambil

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, dalam Mesyuarat Kabinet itu juga, beliau memaklumkan berhubung tiga langkah yang akan diambil untuk mengatasi isu buli siber.

Ini termasuk meneliti keperluan untuk meminda akta sedia ada seperti Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, atau menggubal akta khusus mengenai buli siber.

“Sebelum ini ada pernah diadakan kaji selidik mengenai buli siber namun tidak diteruskan kerajaan sebelum ini. Saya menerima makluman daripada Bahagian Dasar Kementerian Komunikasi bahawa ada kaji selidik ini.

“Kita akan teliti semula dan lihat sama ada sesuai untuk bawa ke Parlimen atau penambahbaikan,” katanya.

Bagaimanapun, ujarnya, beberapa menteri berpandangan undang-undang sedia ada sudah mencukupi namun perlu mengambil tindakan tegas kepada pembuli siber.
“Saya dah sampaikan pada pihak berkaitan dan kita akan saksikan tindakan tegas dalam masa terdekat. “Kementerian akan teliti apakah cara untuk kurangkan keberadaan akaun palsu terutama yang disalah guna untuk tujuan melakukan buli siber,” katanya.

BERITA TRENDING: Hanya Bayar RM100, Pembuli Esha ‘Alpha Quinn’ Mengaku Bersalah

BERITA TRENDING: Tamatkan Riwayat Sendiri Kerana Siber Buli, Ini Kronologi Kes Influencer Rajeswary Appahu

BERITA TRENDING: PMX Sambut Baik Hasrat Pelaburan RM9.41 Bilion Google Di Malaysia

BERITA TRENDING: A.R Rahman Bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Ini Hal Yang Dibincangkan!

Menurut Fahmi, langkah kedua adalah memudahkan proses membuat laporan kepada MCMC dan PDRM yang mana kedua-dua badan itu bersetuju untuk meneliti proses tersebut.

Kempen kesedaran

Beliau turut mencadangkan supaya siri jelajah kempen kebangsaan diadakan di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dalam talian meliputi isu buli siber, keselamatan data peribadi dan masalah scam.

Jelasnya, siri jelajah berkenaan yang diuruskan Kementerian Komunikasi melalui MCMC dengan kerjasama beberapa kementerian.

“Sebelum sidang media ini, saya telah berhubung dengan TikTok dan telah maklumkan bahawa mereka perlu bertanggungjawab (insiden membabitkan Esha).

“Mereka bersedia untuk memberikan kerjasama erat dan baik kepada pihak kementerian untuk mengatasi masalah ini dan bertemu kami minggu depan,” katanya.

Sumber: Buletin TV3
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live