Laman Utama
PM Umum PKP 2.0, Orang Ramai Setuju Keputusan Tegas Kerajaan
Orang ramai menyambut baik pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini (Isnin).
Tinjauan Gempak menerusi siaran langsung Facebook (FB) Astro Awani mendapati majoriti bersetuju dengan PKP kali kedua dijalankan di enam negeri zon merah.
Siaran langsung FB Astro Awani telah mencatatkan lebih 679,000 tontotan dengan 21,000 komen ketika siaran langsung pada 6 petang tadi.
Majoriti bersetuju dengan pendekatan tegas diambil kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19, sekaligus menurunkan bilangan kes positif harian ke satu tahap yang terkawal dan boleh diuruskan dengan lebih berkesan.
Malah ramai memuji kerajaan kerana mendengar keluhan dan cadangan rakyat yang rata-ratanya amat bimbang dengan perkembangan peningkatan kes kebelakangan ini.
“Terima kasih kerajaan kerana mengambil kira keluhan kami dan memahami beban tugas yang dihadapi oleh petugas-petugas kesihatan kita kerana peningkatan kes yang mendadak.
“Frontiners kita semakin penat dan kesihatan awam negara semakin tenat. Semoga dengan PKP dan Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus dapat memutuskan rantaian pandemik,” kata netizen yang menonton siaran langsung.
“Alhamdulillah..Terbaik abah. Memang kena ambil tindakan tegas kalau tak makin melarat Covid ni. Manusia ni di bagi peluang, ambil kesempatan,” tulis seorang lagi.
“Terima Kasih kepada Perdana Menteri kita, tidak lupa juga jutaan terima kasih kepada frontliner kita. God bless us, Amen. #Togetherwefightcoronavirus,” kata seorang warganet.