Viral
#PMTepiKakGee: “Alasan Dia Tinggalkan Saya, Dia Nak Berubah” - Gadis Putus Hubungan Selepas 5 Tahun Bercinta
Soalan:
Hello Kak Gee. Hari ini saya putus dengan teman lelaki saya. Saya dengan dia dah 5 tahun dan dia tinggalkan saya. Alasan dia tinggalkan saya, dia nak berubah dan dia cakap dia rasa kosong bila dengan saya. Saya dah buat macam-macam cara untuk pertahankan, but today I lost everything.
Saya dah lama nampak dia berubah sejak dia mula masuk belajar. Pernah sekali saya datang ke tempat belajar dia sebab saya takut dan hampir kehilangan dia, dan buat keputusan ke tempat dia belajar untuk berjumpa dengan dia. Alhamdullilah hari tu kita orang okay.
Tapi hari ni dia buat keputusan untuk tinggalkan saya. Saya tak tahu kenapa saya masih dengan dia dulu walaupun dia banyak kali sakitkan hati, tipu saya, bila telefon tak pernah angkat atau telefon balik.
Saya tahu sis, saya beria. Doakan saya boleh hadapi dugaan ini dan terima kasih sudi dengar luahan saya.
Yang ditinggalkan, Zira
Jawapan:
Hai Zira. Kak Gee harap Zira baik-baik sahaja. Kita orang perempuan ni memang akan cuba pertahankan suatu ikatan dengan sepenuh hati. Kak Gee faham sangat perasaan Zira, apatah lagi hubungan antara Zira dan bekas teman lelaki berlangsung 5 tahun lamanya.
Tapi sebagai wanita, Kak Gee tahu Zira kuat. Wanita ni lain macam sikit kekuatannya berbanding lelaki. Mungkin tidak secara fizikal, tetapi dari segi bangkit kembali setelah kita dikecewakan.
Mungkin bukan jodoh Zira dengan dia, tapi sentiasa percaya pada diri Zira, ada yang lebih baik bakal menanti. Bunyinya cliche, tetapi Zira sendiri tahu dia bukanlah yang terbaik untuk Zira buat masa sekarang, apatah lagi dengan sering menipu dan tidak menghiraukan Zira.
Alasan dia meninggalkan Zira tidak ada kena mengena dengan Zira. Itu alasan peribadinya, dan bukan bermakna Zira wanita yang tidak bagus hingga menyebabkan dia rasa kosong. 5 tahun bersama dan rasa kosong? Maknanya masalah itu terletak pada dirinya.
Kak Gee percaya Zira juga tak mahu menghabiskan masa Zira dengan mencintai lelaki yang tidak menghargai Zira. Masih terlalu jauh perjalanan Zira dan jika Zira masih belajar, tumpukan sepenuhnya pada pelajaran. Belajar hingga berjaya, jadi wanita bekerjaya dan cemerlang dalam hidup. Buktikan pada diri bahawa Zira berhak mendapatkan lelaki yang lebih baik, yang tahu menghargai masa dan kasih sayang yang Zira berikan.
Kak Gee faham perasaan sedih itu pasti ada. Naluri wanita memang begitu, tapi jangan dilayan sangat. Zira kena kuatkan semangat, bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri Zira sendiri. Masih ramai lagi lelaki yang baik di luar sana. Masih banyak lagi masa untuk Zira menemui pasangan yang sesuai dan membawa Zira ke mahligai bahagia.
Percayalah cakap Kak Gee, dugaan ini akan berlalu kerana Zira punya kekuatan mental untuk menghadapinya. Lupakanlah dia, dan move on! Kak Gee doakan Zira akan bertemu dengan lelaki yang lebih baik, dan menyayangi Zira sepenuh hatinya.
Salam sayang dari Kak Gee!
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!