Nusantara
#PMTepiKakGee ; Gadis Stress Masalah Keluarga, Ingin Bunuh Diri!
SOALAN
Kak Gee, saya stress sebabkan masalah keluarga. Umur saya 15 tahun. Ibu dan ayah saya baru sahaja bercerai. Bapa saya pinjam ah long berpuluh ribu ringgit. Bukan setakat ah long, ahli keluarga jugak. Dia start berjudi dan ambil barang.
Dia layan saya dan adik-adik saya lain sangat. Selalu marah-marah, tak layan kitaorang macam dulu.. Kadang-kadang saya rasa macam nak bunuh diri..
Tak tahan nak tengok ibu menangis. Tengok ibu stress sampai sakit-sakit fikirkan masalah. Saya cemburu tengok kawan-kawan berbuka bersama ibu bapa dan adik beradik dia orang. ???.
Saya rindukan keluarga bahagia saya.
Yang Benar,
Gadis Stress
JAWAPAN
Assalamualaikum Gadis Stress, Kak Gee harap adik tidak terlepas membaca nasihat dari Kak Gee ini. sebab Kak Gee perasan adik beberapa kali menghantar luahan rasa Gadis Stress kepada #PMTepiKakGee dengan menuliskan tajuk Bunuh Diri.
Sesungguhnya, Kak Gee memang jadi tak tenang membaca luahan hati adik. Jujur Kak Gee rasa apa yang adik luahkan adalah sangat membimbangkan kerana selain stress adik juga berfikir sehingga ingin bunuh diri.
Gadis Stress, pertamanya Kak Gee nak cakap Kak Gee sangat bersimpati dengan nasib keluarga adik dan masalah yang sedang adik beradik juga Ibu hadapi kerana sikap ayah.
Tapi adalah penting untuk Gadis Stress sedar bahawa melakukan hal di luar kewarasan apa lagi sehingga tahap membunuh diri adalah perbuatan yang dimurkai Allah SWT.
Dan ketahuilah adik juga, membunuh diri bukan sebuah penyelesaian yang bijak hanya untuk melarikan diri dari sebuah masalah.
Fikirkan soal ibu dan adik beradik yang lain. Jika adik adalah anak sulung, adik punya tanggungjawab untuk memastikan keselamatan adik beradik yang lain juga.
Bersatulah dengan adik beradik yang kerana hanya dengan kesepakatan bersama adik beradik, Insya Allah ia dapat membantu sekurang kurangnya meringankan masalah dan boleh melepaskan tekanan.
Adik juga kena selalu menyokong ibu. Mungkin ibu sekarang sedang merasa beban yang lebih berat dari apa yang adik dan anak anaknya yang lain rasa, tapi oleh kerana dia adalah seorang ibu, dia tidak boleh bersikap lepas tangan, penting diri sehingga melepaskan tanggungjawab terhadap anak anak.
Itulah peranan seorang ibu dan mungkin dia akan cuba tersenyum serta beraksi biasa di hadapan anak anak kerana tidak mahu kelihatan lemah sekali gus membuat kalian adik beradik lebih terbeban.
Gadis Stress, ingat, setiap masalah ada jalan penyelesaian. Tapi bunuh diri bukanlah jalan penyelesaian yang bijak. Kak Gee benar benar berharap adik mampu bertahan dan kembali bersemangat.
Ingat, ramai yang sayang adik, walaupun Kak Gee tidak mengenali Gadis Stress tapi Kak Gee boleh merasa sayang dan tak mahu lihat adik melakukan tindakan yang buruk.
Di luar sana juga mungkin banyak orang yang mempunyai masalah lebih berat tetapi dapat menjalani kehidupan dengan baik atau sekurang kurangnya berusaha menjadi lebih baik kerana tidak mahu terus hidup bergelumang dengan masalah.
Gadis stress, mak dan adik beradik yang lain kena kuat. Lawan dan jangan mengalah. Sentiasa berdoa sesungguhnya Allah tidak pernah menghampakan hamba hambanya.
Dan satu lagi, jika Gadis Stress sudah benar benar stress, dapatkan nasihat pakar seperti doktor Psikiatri.
Atau luahkan masalah adik dengan hubungi talian talian bantuan seperti Befrienders atau Malaysian Relief Agency misalnya. Jangan pendam sehingga mendorong adik melakukan hal yang memudaratkan.
Tolong ya Gadis Stress, jangan lakukan tindakan yang boleh memudaratkan adik dan keluarga. Fikir tentang hal hal yang baik dan positif.
Di bulan Ramadhan yang mulia ini Kak Gee akan doakan adik supaya kuat dan bertahan. Insya Allah semuanya akan menjadi lebih baik.
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!
Must-Watch Video