Soalan:

Hello Kak Gee. Harap Kak Gee sihat sentiasa. Saya nak minta nasihat Kak Gee tentang ibu saya. Saya anak tunggal. Sejak ayah dan ibu bercerai beberapa bulan yang lalu, saya kembali tinggal bersama ibu kerana ibu saya menjadi tidak terurus. Walaupun dia dapat rumah, kereta dan lain-lain, tapi ibu macam tak boleh nak lupakan ayah saya.

Minggu lalu bila saya balik dari kerja, saya nampak ibu tak sedarkan diri. Mujur hospital tidak jauh daripada rumah kami. Sekarang ibu masih lagi ditahan di hospital. Saya risau keadaan ibu. Patutkah saya buat laporan pada pihak hospital atau diamkan diri sahaja.

Tina



Jawapan:

Hi Tina. Kak Gee harap Tina jaga kesihatan Tina. Kak Gee juga tidak mahu menggunakan kata-kata manis kerana masalah yang Tina hadapi agak berat memandangkan ianya melibatkan tahap kesihatan ibu Tina.

Pada pendapat Kak Gee, jika Tina mahu ibu Tina mendapat rawatan sewajarnya, mungkin lebih baik Tina berbincang dengan pihak doktor tentang apa yang dialami oleh ibu Tina. Daripada situ, doktor boleh memberikan rawatan yang bersesuaian untuk ibu Tina.

Berdiam diri bukan jawapannya. Jika Tina rasa terlalu berat untuk melakukannya sendiri, mungkin Tina boleh berkongsi perkara tersebut dengan datuk atau nenenk Tina supaya mereka juga mengetahui keadaan ibu Tina.

Ibu Tina mungkin dalam keadaan tertekan, tetapi bukan tempat Kak Gee untuk membuat telahan. Perkara ini lebih baik diserahkan kepada doktor untuk membuat penilaian mereka dan memberikan rawatan yang sepatutnya untuk ibu Tina.

Kak Gee harap Tina dapat membuat keputusan yang betul demi kesihatan ibu Tina. Jangan simpan masalah yang dihadapi. Kongsikan dengan orang yang boleh dipercayai seperti ahli keluarga terdekat lainnya supaya mereka juga dapat membantu Tina.

Semoga ibu Tina akan pulih sepenuhnya dan kembali meneruskan hidup kerana dia masih ada Tina. Salam sayang daripada Kak Gee.

Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!