SOALAN

Kak Gee, luahan saya ringkas saja. Isteri saya seorang yang cepat terpengaruh dengan kehidupan mewah orang lain, apa lagi di zaman media sosial ini.

Apa yang dia lihat di Instagram atau apa yang Instafamous pakai maupun makan di restoran mahal, isteri saya inginkan. Walaupun ada sebahagiannya dia pakai duit sendiri, tapi saya rasa kurang selesa sebab hakikatnya kehidupan kami biasa biasa dan cukup makan saja.

Kalau saya tegur, dia akan merajuk dan kami akan bergaduh. Macam mana ya Kak Gee.

Yang Benar,
Suami tersepit



JAWAPAN

Hi Suami Tersepit, Kak Gee faham sangat dengan luahan anda ini. Dan Kak Gee percaya banyak juga orang atau pasangan di luar sana yang mengalami dilema seperti ini.

Sebagai suami, Kak Gee nasihatkan anda didiklah isteri dengan cara yang lembut dan betul. Tidak salah untuk menegur jika apa yang dilakukan isteri dianggap keterlaluan, tapi mungkin jangan ditegur dalam cara yang keras, sebaliknya boleh lakukan dengan santai atau secara berseloroh.

Kita ini manusia biasa, apa lagi perempuan. Bila tengok benda cantik, makan sedap dan nampak mewah di media sosial, memang cepat terpengaruh. Tapi kemudian ia berbalik kepada pengawalan diri sendiri.

Mungkin anda boleh galakkan isteri kelihatan cantik atau nampak macam memakai jenama mewah, tetapi semuanya boleh diperoleh mengikut kemampuan dan kreativiti sendiri. Sebab jika dia berlawa lawa untuk anda, apa salahnya kan? Cuma perlulah ukur baju dibadan sendiri.

Soal makan mewah itu mungkin anda boleh beritahu kepada dia, buat satu peraturan iaitu hanya boleh makan mewah sebulan sekali mengikut kemampuan kalian.

Nasihatkan isteri secara santai, jangan sokong apabila dia mula membazir dan membeli belah sehingga kalian tersepit dan kawal duit nafkahnya jika dia masih tidak boleh membuang tabiat tersebut.



Perlahan lahan, Insya Allah isteri anda akan faham nanti. Dan ingatkan juga kepada dia, kebanyakan apa yang dipaparkan di media sosial itu bersifat palsu. Kalau Instafamous nampak memakai baju berjenama atau produk mahal, mungkin itu adalah pemberian atau dia sedang mengiklankan sesuatu. Kita tidak tahu.

Jadi jangan mudah terpedaya. Hidup seadanya yang penting bahagia dan tidak meminta minta.

Okay Suami Tersepit, Good Luck!

Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!