Soalan:

Hi Kak Gee. Nama saya Mas dan saya dah dua tahun bekerja di tempat kerja saya sekarang. Dulu ketika di kolej saya ada sorang teman yang sangat rapat dengan saya. Kami macam belangkas, pergi ke mana saja berdua, buat homework bersama dan macam-macam lagi. Saya banyak ceritakan masalah saya kepada dia dan begitulah sebaliknya. Tapi lepas hampir setahun jadi bff baru saya sedar dia banyak bercerita pasal saya pada orang lain. Ada masalah yang terlalu peribadi pada saya turut diceritakan pada kawan-kawan. Saya terus hilang percaya kepada dia dan kami putus kawan.

Bila saya kerja, saya jumpa dengan seorang yang juga rapat dengan saya. Mula-mula saya takut, tapi kami jadi kawan baik bila dia dah mula kongsi masalah dia dengan saya. Saya anggap dia percayakan saya dan saya mula letakkan kepercayaan saya kepada dia. Balik daripada PKP dan mula kerja, benda yang sama berlaku. Mula-mula saya hairan kenapa orang kat office pandang lain pada saya. Akhirnya saya dapat tahu, dia telah tikam belakang saya. Macam bff masa di kolej dulu, dia juga ceritakan hal peribadi saya pada kawan-kawan di office. Saya tak tahu nak sorok muka kat mana Kak Gee. Apa yang patut saya buat? Tolong saya Kak Gee.

Mas


Jawapan:

Hi Mas. Kak Gee harap Mas sihat-sihat sentiasa. Masalah Mas ni pernah juga berlaku pada Kak Gee. Namanya ‘Sindrom Terlalu Percayakan Orang’. Jadi Kak Gee dapat rasa apa yang Mas rasa.

Kita sebenarnya boleh percayakan orang lain, tapi bukanlah dengan meletakkan kepercayaan tersebut seratus peratus. Ada perkara peribadi yang patut kita simpan sendiri, kita jangan kongsikan dengan orang lain. Biarlah perkara itu menjadi rahsia kita.

Bila kita berkongsi sesuatu rahsia dengan orang kedua, perkara itu tidak lagi menjadi rahsia peribadi kita kecuali kita bertemu dengan doktor pakar yang sememangnya mengangkat sumpah untuk menyimpan rahsia peribadi seseorang.

Walaupun dengan kawan rapat atau BFF, kita jangan kongsikan semuanya dengan orang tersebut kerana kita tidak tahu lama mana persahabatan kita dengan dia. Mas mungkin mengharapkan persahabatan yang kekal tetapi ada orang lain yang susah nak tutup mulut kerana mereka seronok bercerita tentang orang lain.

Mas boleh bersemuka dengan teman Mas itu dan bertanyakan secara baik kenapa dia bercerita tentang hal peribadi Mas kepada orang lain. Walaupun Mas mungkin tidak akan lagi menjadi kawan rapatnya, tetapi sekurang-kurangnya Mas tahu apa yang terjadi di sebaliknya.

Mungkin Mas boleh ambil iktibar dengan apa yang berlaku dan selepas ini lebih berhati-hati apabila ingin berkongsi rahsia atau masalah peribadi dengan sesiapa. Jangan mudah meletakkan kepercayaan kepada orang lain. Percaya pada diri sendiri.

Kak Gee harap agar Mas lebih berhati-hati dalam memilih kawan selepas ini. Salam sayang daripada Kak Gee!



Itu kisah Mas, bagaimana pula dengan kisah keluarga Iskandar?

Jangan lupa saksikan filem Keluarga Iskandar The Movie (KITM) yang mengetengahkan kehidupan keluarga arwah Haji Iskandar yang mempunyai pelbagai ragam serta gelagat.

KITM mengisarkan tentang Keluarga Iskandar merancang untuk konvoi bersama ke majlis perkahwinan Faris iaitu bekas teman lelaki Adibah di Pontian, Johor.

Akan tetapi perjalanan ke majlis Faris agak lambat kerana Mak Jah asyik memaksa keluarganya menyinggah ke setiap satu rumah saudara sepanjang perjalanan ke Pontian.

Akibat terlalu bosan, Princess dan Dardar telah merancang untuk ke taman tema tanpa pengetahuan keluarga mereka. Kehilangan mereka berdua telah menggemparkan keluarga Iskandar.

Selain Anita, pelakon siri asal ini turut membuat kemunculan termasuklah Kismah Johar, Hilal Azman, Zain Hamid, Anita Baharom, Azhar Sulaiman, Raja Ema, Sobri Anuar, Hiera Hassan, Izz Ilham, Khayrisyah Kemal, Wan Rania Humairah, Taqim Zaki, Wan Adam Danish dan Dhia Iskandar.

Temui karakter-karakter kesayangan anda menerusi filem KITM yang ditayangkan terus ke pawagam rumah anda, Astro First di saluran 480 bermula 16 Julai 2020.

Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!