Nusantara
#PMTepiKakGee; Suami Ingkar Arahan PKP, Isteri Stress Nak Lapor Polis
SOALAN
Assalamualaikum Kak Gee. Saya nak luahkan rasa stress, geram dan tension dengan suami saya. Saya berusaha nak patuh arahan kerajaan, keluar hanya bila perlu, elakkan ziarah yang tak perlu apa semua. Rumah parents saya yang dalam satu daerah pun saya bertahan tak pergi, tapi suami saya tak habis habis ajak buka puasa/berjalan ke rumah kawan kawan.
Malah ada tahap dia nak ajak kawan datang buka puasa kat rumah kami pula bila saya tak nak buka puasa kat luar. Bila saya tak bagi dia kata saya tak nak terima tetamu. Yang sebelum PKP saya dok terima tetamu sana sini tu apa dia kak? Saya stress saya sedih la kak. Rasa macam nak report polis pun ye.
Sudah macam macam amaran polis keratan akhbar apa semua saya bagi dia baca dia buat tak tahu je. Yang paling saya sedih dia siap mengadu dengan kawan kawan dia pasal pendirian saya. Ramai dok gelakkan saya.
Yang Benar
Isteri SP
JAWAPAN
Waalaikummusalam Isteri SP, terima kasih sudah mencari Kak Gee dan tahniah kerana anda tidak simpan perasaan stress semua itu sendiri. Kak Gee percaya anda kini sudah berasa sedikit lega kerana melepaskan apa yang terbuku di hati.
Isteri SP, kalau Kak Gee kata patut telefon atau lapor polis dan tangkap suami anda sebagai pengajaran boleh tak? He, taklah, Kak Gee gurau saja. Minta maaf ya.
Kak Gee rasa untuk masalah suami anda dirinya tidak mempunyai tahap kesedaran yang tinggi tentang betapa seriusnya pandemi Covid 19 ini kepada kita.
Mungkin Isteri SP boleh sekali lagi duduk dengan suami dan berbicara dalam keadaan yang tenang.
Setelah menunjukkan semua amaran keratan surat khabar atau polis tetapi tidak diendahkan, rasanya mungkin boleh google atau cari pula video ke yang menunjukkan pesakit Covid 19 di seluruh dunia yang kritikal.
Tunjukkan gambar gambar pesakit yang terlantar sehingga meninggal dunia di beberapa negara luar kerana kurangnya tenaga medik untuk merawat mereka.
Nyatakan juga kepadanya bahawa dengan sikap tidak bertanggungjawab dirinya, dia mungkin boleh menyebarkan rantaian Covid 19 kepada banyak orang termasuk diri anda dan keluarga tersayang tanpa kita sedar dan sengaja.
Tanyalah kepadanya tidak sayangkan diri sendiri, anda atau keluarga ke? Jika ada perasaan sayang, tolonglah ikut arahan kerajaan. Tolong juga kasihan pada frontliner yang bertugas untuk menyelamatkan nyawa kita.
Betul, kita mungkin tidak boleh nampak kuman Covid 19 itu seperti apa atau soal ajal memang di tangan Allah SWT, tetapi di dalam hidup Allah juga sayangkan manusia yang tidak penting diri, bertoleransi dan berusaha menghindarkan diri dari melakukan hal yang memudaratkan diri.
Bawalah berbincang dengan tenang, lagipun Aidilfitri pun sudah tinggal sehari dua lagi. Jadi jangan sampai bermasam muka pula di hari raya. Beritahu juga jika semua orang boleh mematuhi arahan dan saling menjaga, InsyaAllah Covid 19 ini akan terhapus tanpa mengorbankan lebih banyak nyawa.
Atau, setelah banyaknya usaha yang anda lakukan untuk membuat dia faham dan mematuhi PKP tetapi dia masih berdegil, mungkin Isteri SP perlu menjalankan misi 'silent treatment'.
Mengikut pengalaman Kak Gee, orang lelaki atau suami paling seram jika seorang perempuan atau isteri mula melancarkan misi 'silent treatment' ini. Sebabnya kita kaum perempuan ni kan memang akan membebel untuk satu satu perkara yang kita tak suka.
Jadi Kak Gee rasa, suami tidak melihat yang anda betul betul tidak bersetuju dengan sikapnya yang melanggar PKP dengan cara mendiamkan diri, tetapi dalam masa yang sama jangan abaikan tanggungjawab anda sebagai seorang isteri seperti biasa
Misalnya, kalau dia masih lagi ingkar dan masih mengajak anda keluar, anda minta izin dengan baik untuk tidak mahu ikut tetapi anda tidak menghalang dirinya untuk keluar ke rumah.
Pendek kata apa perkara yang salah dilakukan oleh suami, jangan ikut serta atu jangan menyokong. Kak Gee percaya lama kelamaan nanti suami juga akan sedar diri bahawa apa yang dilakukannya adalah salah.
All the best Isteri SP. Di bulan puasa dan menjelang raya ini, Kak Gee nak ambil kesempatan untuk memohon maaf kepada anda. Jangan cepat mengalah ya.
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!