Soalan:

Hai Kak Gee. Saya ada seorang ayah. Ayah saya ni kira up-to-date lah. Kira pandailah main Instagram, Twitter dan kemaskini Status dekat WhatsApp. Ayah saya ni dah lama duda. Ibu saya meninggal dunia semasa adik bongsu saya umur 6 tahun. Sekarang adik bongsu saya dah umur 15 tahun.

Ayah saya ni kiranya bakal berkahwin. Ya, saya dan adik-adik okay je ayah nak kawin. Tapi yang saya tak suka Kak Gee, ayah saya tu dah umur 55 tapi dekat IG, whasapp duk update rindu ler, happy ler. Macam orang muda buat. Kitorang adik beradik tak selesa. Orang tua gedik (rasa berdosa).

Saya ada follow IG ayah saya guna akaun palsu lepas tu Allahu, siap ada hashtag lagi Kak Gee. Lepas tu ada emoticon love singkatan nama dia dengan bakal isteri dia. Saya tak selesa Kak Gee ayah saya berkelakuan macam budak-budak baru nak bercinta. Setiap hari di telefon sayang, baby. Kita orang adik beradik rasa macam nak muntah.

Kak gee tahukah macam mana nak nasihat ayah saya? Mana tahu idea kak gee boleh saya guna pakai. Kitorang izin ayah kahwin tapi janganlah post gedik dekat IG atau status Whatsapp.

Yang Rasa Nak Muntah, Adam



Jawapan:

Hai Adam. Beruntungnya Adam ada ayah yang up-to-date dan sentiasa ikuti perkembangan teknologi terkini. Kak Gee pun masih terkial-kial nak kongsi gambar di Instagram.

Okay, kita berbalik pada kisah Adam yang rasa tak selesa dengan kelakuan ayah yang seperti orang muda sedang bercinta. Kak Gee faham perasaan Adam sebagai seorang anak, tapi Kak Gee juga faham perasaan ayah Adam sebagai seorang yang sedang dilamun cinta.

Kalau ikutkan perkiraan Kak Gee, sudah 9 tahun ayah Adam menduda sejak kematian isteri yang juga merupakan ibu kepada Adam dan adik beradik. Bermakna selama 9 tahun jugalah ayah Adam membesarkan anak-anaknya termasuk Adam sendirian.

Selama tempoh tersebut, ayah Adam membesarkan Adam dan adik beradik dan memberi sepenuh perhatian kepada anak-anak. Dia tidak pedulikan tentang keperluan dirinya asalkan anak-anak membesar dengan baik dan mendapat segala yang diinginkan.

Hanya selepas adik bungsu Adam dah berusia 15 tahun dan jodoh ayah bertemu dengan wanita yang dikahwininya, barulah dia tunpukan sedikit perhatian kepada diri sendiri.

Kak Gee rasa tiada masalah besar sebenarnya jika ayah Adam ingin berkongsi kasih sayang atau menunjukkannya di media sosial kerana ramai sahaja orang yang melakukan hal yang sama. Usia hanyalah nombor kerana hati sentiasa remaja bila bab bercinta ni. Suatu hari Adam akan faham apa yang Kak Gee maksudkan.

Kak Gee rasa Adam sepatutnya gembira untuk ayah Adam yang banyak berkorban pada anak-anaknya. Tidak perlu rasa meluat atau geli dengan apa yang dikongsi oleh ayah Adam di Instagram atau di WhatsApp. Kenapa perlu rasa gedik dengan orang yang banyak berkorban untuk Adam dan adik beradik Adam? Terlalu kecil sangat masalah Adam berbanding curahan kasih sayang seorang ayah pada anak-anaknya.

Nak tahu apa nasihat Kak Gee untuk Adam? Kak Gee harap Adam dan adik beradik yang lain boleh meninggalkan komen yang positif pada Instagram ayah Adam. Tunjukkan sokongan moral dari anak-anak bahawa ayah juga boleh bahagia jika itu yang diperlukannya. Sokongan Adam dan adik beradik lain sama ada secara berdepan atau di media sosial tentunya membuatkan ayah Adam berasa sangat gembira dan bahagia.

Malah Adam dan adik beradik lain sepatutnya bangga kerana punya seorang ayah yang up-to-date, mengikuti peredaran masa dan tidak tersekat hanya pada satu zaman sahaja. Itu membuktikan bahawa ayah Adam seorang yang bersifat terbuka, sentiasa menerima perkara baru dan memudahkan dia untuk mendidik anak-anaknya.

Kak Gee doakan ayah Adam akan berkahwin dalam masa yang terdekat dan terus berkongsi kebahagiaan tak kiralah di media sosial atau bersama anak-anak tercinta. Di kala ini, kita perlukan rasa kebahagiaan itu walau sekecil mana sekalipun.

Salam sayang dari Kak Gee!

Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!