SOALAN:

Salam Kak Gee. Nama saya Ina. Kini saya sedang berada di pusat bandar kerana bekerja macam biasa di waktu PKP ni biarpun dah nak dekat Hari Raya.

Masalah saya ialah sambutan Syawal yang bakal menjelang hujung minggu ni, saya takut nak balik beraya!

Walaupun menyambut Raya ketika PKPB, sebenarnya saya tak ada masalah pun nak balik kampung kerana rumah keluarga saya terletak di penghujung Selangor.

Cuma, kini saya berada di Kuala Lumpur, menyewa di pusat bandar kerana mahu tinggal dekat dengan pejabat.

Sebenarnya, cadangan saya ialah lepas je habis kerja hari Jumaat ni, saya terus balik kampung untuk pulang beraya.

Masalah saya sekarang ni adalah saya takut nak balik kampung kerana mahu mengelak untuk berjumpa dengan kakak saya.

Semuanya kerana saya menjalin hubungan dengan bekas teman lelaki kakak saya yang bernama A.

Pada mulanya, saya tak kenal itu bekas teman lelaki kakak saya sebab dulu masa dia bercinta dengan kakak saya, masa tu zaman kakak saya belajar di universiti. Saya pulak masih bersekolah menengah lagi.

Ketika itu, badan A sangat berisi dan wajahnya berjambang.

Kini, A merupakan seorang jejaka sado yang kelihatan sangat jambu.. Muka clean shave, tak ada jambang.

Peribadinya juga menyenangkan saya. Senang cerita, memang taste saya tau Kak Gee. Hehehe...

Tapi saya masih tak tahu mengenai hubungan A dengan kakak saya sebelum ni.

Akhirnya, selepas lima bulan saya bercinta dengan A, barulah saya tahu hal sebenar.

Itu pun lepas saya upload gambar saya dan A di Instagram dan kakak saya komen kat foto tu.

Masalahnya, A pun tak tahu saya merupakan adik kepada kakak saya. Alamak!

Nak patah balik pun tak boleh Kak Gee sebab kami memang betul-betul dah serius.

Saya memang sayangkan A sangat-sangat, A juga sangat menyayangi saya.

Kakak saya pulak, semenjak dia tahu saya bercinta dengan A, dia macam boikot saya tau!

Takutnya Kak Gee, kakak saya sampai block saya kat WhatsApp.

Hmm... Sebab tulah saya nak elak balik kampung. Kakak saya pula memang ada kat kampung semenjak PKP bermula.

Tapi, takkanlah saya nak mereput seorang diri beraya kat rumah sewa di Kuala Lumpur ni?

Macam mana ni Kak Gee, help me!


JAWAPAN:

Salam Ina. Terima kasih sebab berkongsi masalah Ina dengan Kak Gee.

Bagi Kak Gee, tak ada apa pun yang Ina patut takutkan kerana musim Raya inilah masa yang perlu Ina ambil untuk menjernihkan keadaan dengan kakak Ina.

Kalau Ina asyik nak mengelak, bila masanya nak jernihkan keadaan kan?

Balik kampung, jumpa kakak Ina, bincang dari hati ke hati.

Kata kuncinya adalah bincang ya, bukan bergaduh, meninggi suara atau bertekak.

Bincang sebagai dua adik beradik yang waras dan berdiskusi secara diplomasi, bukan dengan emosi atau perasaan marah.

Mungkin kakak Ina terasa dengan perbuatan Ina, atau ada benda lain yang kakak Ina tak senang... Siapa tahu kan?

Tanya betul-betul, bincang elok-elok.

Ingat ya Ina, hubungan dengan teman lelaki boleh sambung putus sambung putus, jika berkecai mungkin ada pengganti lain.

Tetapi, hubungan dengan adik beradik sangat berbeza. Bagai air yang dicincang tak akan putus, apa-apa situasi pun adik beradik dan keluarga jugalah yang akan bersama kita.

Jadi, Kak Gee rasa, balik sahajalah ke kampung dan sambutlah Syawal bersama keluarga.

Ambil peluang ini untuk bermaaf-maafan dan menjernihkan keadaan.

Sampai bila Ina nak lari kan?

Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!