Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Poligami & Kes Isteri Muda Kasari Nur Hidayu, Imam Muda Syed Faris Enggan Mengulas

Amri Hassan
14/08/2020 05:20 MYT
Pendakwah bebas, Imam Muda Syed Faris enggan mengulas mengenai semua dakwaan bekas isteri, Nur Hidayu.

Kata Syed Faris, seandainya dia bersuara tindakannya itu akan mengeruhkan keadaan dan prosiding di mahkamah akan terganggu.

"Saya dan bekas isteri akan ada perbincangan selanjutnya dan saya minta semua tolong doakan supaya masa depan anak-anak lebih terjamin.

"Tiada apa-apa perlu saya cakap, perkara itu akan merumitkan keadaan sebenarnya sebab kita tahu masyarakat kita macam mana.

"Semoga semua berjalan lancar demi anak-anak. Mereka nak membesar lagi," katanya kepada Gempak.

Syed Faris ditemui selepas prosiding tuntutan nafkah daripada Nur Hidayu terhadap anak-anak mereka di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya baru-baru ini.

Ketika ditanya lagi mengenai kesahihan dakwaan bekas isteri yang mendakwa Syed Faris mengahwini wanita lain dan telah dikasari wanita terbabit, bekas peserta rancangan realiti Imam Muda itu tetap mengunci mulut.

"Tak apalah, nantilah," jawabnya.

Proses sulh antara Syed Faris dan Nur Hidayu akan dilanjutkan ke tarikh 24 Ogos depan.

Sebelum ini, Nur Hidayu dilaporkan mahu menuntut hak lima anak mereka yang berusia antara lapan bulan sehingga 12 tahun selepas bercerai dengan Syed Faris pada 28 Mei lalu.

Menurut Nur Hidayu, tuntutan hadhanah yang dibuat kerana dua anaknya masih kecil serta seorang berusia tiga tahun, manakala yang kecil baru berusia lapan bulan dan masih menyusu.

Nur Hidayu mendakwa bekas suaminya itu mengugut untuk mengambil dua anak mereka yang masih kecil.

Kisah Nur Hidayu menjadi perhatian warganet apabila membuat pendedahan diceraikan Syed Faris pada 2014 itu selepas berkahwin kali kedua secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 18 Mac lalu.

Nur Hidayu diceraikan dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 28 Mei lalu iaitu dua hari selepas menyambut ulang tahun ke-13 perkahwinan mereka.

Sepanjang 13 tahun berkahwin, pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata iaitu Sharifah Aisyah, 12; Syed Husayn, 10; Sharifah Fatimah, 5; Syed Muawiyyah, 3; dan Sharifah Safiyyah, lapan bulan.

Malah, sepanjang perkahwinan itu juga, Nur Hidayu pernah mengalami keguguran sebanyak empat kali.
#cerai #Nur Hidayu #Syed Faris
;