Laman Utama
“Polis Atau ESSCOM Tak Pernah Halang Ebit Lew Anjur Misi Bantuan” – Pesuruhjaya Polis Sabah
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali menafikan Polis atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menghalang aktiviti kebajikan anjuran sukarelawan termasuk misi bantuan yang dilakukan pendakwah bebas, Ebit Lew.
Bagaimanapun katanya, kesemua sukarelawan itu digalakkan untuk merujuk dengan pihak berkuasa seperti polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu atas faktor keselamatan.
"Polis atau tidak pernah menghalang atau mengeluarkan sebarang arahan untuk menghentikan program Ustas Ebit Lew di kawasan itu.
"Kita tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau tindakan untuk menghalang program yang dianjurkan oleh pihak sukarelawan seperti Ustaz Ebit Lew.
"Cuma atas faktor keselamatan, mereka digalakkan untuk merujuk dengan pihak berkuasa seperti polis dan MKN terlebih dahulu," katanya.
Hazani berkata demikian merujuk kepada kenyataan dikeluarkan Ebit Liew mendakwa dihalang daripada menjalankan misi bantuan di pantai timur Sabah.
[[BACA: Ebit Lew Sebak 157 Orang Ucap Syahadah, Satu Kampung Masuk Islam...]]
Menurut Hazani, polis mengalu-alukan kerjasama mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan program amal kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan.
"Ada juga kenyataan yang ditularkan di media sosial mengaitkan Perintah Berkurung dikuatkuasakan meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
"Perintah berkenaan dikeluarkan adalah bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.
"Ia tidak kena-mengena dengan program yang dianjurkan sukarelawan atau pihak NGO di mana-mana kawasan di negeri ini.
"Cuma kita minta beliau rujuk dengan pihak berwajib adalah bagi mengenal pasti status pulau dan penduduk terbabit," katanya.
Terdahulu, Ebit dalam hantaran di Facebooknya mendakwa, beliau terpaksa menghentikan misi bantuan kerana tidak dibenarkan melawat ke pulau-pulau sekitar Semporna.
Beliau yang terkenal dengan sifat dermawannya mendakwa boleh dikenakan hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun jika niat berkenaan diteruskan.