Polis Bantuan Lapangan Terbang Singapura Tak Sangka Jadi Viral Kerana Kacak
Seorang polis bantuan Lapangan Terbang Changi, Singapura menjadi viral di media sosial kerana memiliki wajah yang kacak dan sering tersenyum.
Identiti polis bantuan itu kemudiannya didedahkan oleh Facebook rasmi milik lapangan terbang itu selepas mengetahui tentang kisah viral tersebut.
Difahamkan pegawai lelaki yang dikenali sebagai Lee Minwei, 22, itu baru saja berkhidmat di lapangan terbang tersebut selama tujuh bulan.
Menerusi akaun Facebook itu juga, mereka telah berkongsi satu foto beserta kenyataan rasmi pemuda berkenaan.
Menurut Lee, sebelum ini memang ada pelancong meminta untuk mengambil gambar bersamanya namun dia tidak menyangka bahawa wajahnya akan menjadi viral.
“Memang ada pelancong yang minta untuk rakamkan foto bersama tapi tak sangka pula yang saya akan jadi viral.
“Ya saya memang suka tersenyum sebab bagi saya dengan senyuman kita boleh buatkan orang lain rasa gembira.
“Secara jujurnya saya masih terkejut dengan situasi ini, kawan-kawan dan keluarga juga sudah mula mengusik saya.
“Mengenai status saya, ya saya masih solo dan masih belum terfikir untuk bercinta. Lagipun saya mahu berikan fokus pada kerja,” katanya.
Terdahulu, wajah Lee mula menjadi viral pada minggu lalu selepas fotonya ketika bertugas telah dimuatnaik oleh seorang wanita di Twitter.
Foto tersebut kemudiannya tersebar dan dikongsi oleh netizen yang rata-ratanya memberi komen positif mengenai wajahnya yang kacak.
Setakat ini foto Lee Minwei yang di Facebook Lapangan Terbang Changi dengan hashtag #facesofchangi telah mendapat hampir 11,000 perkongsian dan 34,000 likes.