Polis Buru Kumpulan Penunggang Basikal Halang Laluan Bas
Polis giat mengesan sekumpulan penunggang basikal bagi membantu siasatan selepas tular di media sosial kerana didakwa menghalang laluan sebuah bas di Kilometer 23, Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur menghala ke Sungai Buloh.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit menunggang secara berkumpulan di lorong kiri jalan sehingga dipercayai menghalang pergerakan bas berkenaan.
Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku pada Ahad lalu kira-kira jam 9.35 pagi.
"Kes ini disiasat di bawah Peraturan 42(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang basikal secara bersaing. Bagaimanapun, tiada kemalangan dilaporkan berlaku dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, tegasnya, usaha mengesan kumpulan terbabit sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Azaharudin turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan ditetapkan dan menghormati hak serta keselamatan pengguna lain.
Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, insiden itu dirakam dalam satu hantaran video yang dimuat naik di Facebook yang memaparkan pertelingkahan antara pemandu bas dan kumpulan penunggang basikal terbabit.Sumber: Sinar Harian