Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Polis Gali Lubang, Demi Halang Rentas Negeri Di Lorong Tikus

Mya Amri
12/05/2021 00:50 MYT
Polis terpaksa menggali lubang di lima laluan lorong tikus sekitar Kampung Tanah Puteh, Kelantan bagi menghalang kenderaan rentas negeri melalui laluan itu memasuki Kelantan.

Langkah lebih tegas itu berikutan laluan terbabit yang dipasang kon konkrit sebelum ini dipecahkan samseng jalanan untuk melakukan rentas negeri melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo, berkata tindakan itu dilakukan bagi memastikan tiada pengguna jalan raya melakukan rentas negeri untuk pulang menyambut Aidilfitri di kampung tanpa surat kebenaran.

Beliau berkata, pihaknya menutup lorong tikus itu kerana sering dijadikan laluan kenderaan bagi mengelak diperiksa dalam sekatan jalan raya di Kampung Tanah Puteh.

Katanya, selain menggali lubang dan menutup laluan, pihaknya juga melakukan pemantauan serta rondaan di kawasan itu bagi memastikan tidak ada laluan lain yang boleh dilalui mereka terbabit.

"Kita mengambil tindakan menutup sepenuhnya lorong tikus untuk pengguna jalan raya yang cuba mengelak sekatan jalan raya yang ada.

"Tindakan berterusan dan pemantauan akan dilakukan anggota kita supaya tidak ada pihak cuba melepasi daerah atau rentas negeri ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya selepas meninjau lima laluan lorong tikus di Kampung Tanah Puteh, Kelantan, semalam.

Sementara itu, Choon Foo berkata, aliran trafik memasuki Kelantan melalui sekatan jalan raya di Kilometer 7, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Kampung Tanah Puteh, kini lengang.

Katanya, kebanyakan pengguna jalan raya mematuhi PKP yang berkuat kuasa esok bagi melarang aktiviti merentas daerah dan negeri.

"Kita turut meningkatkan pemeriksaan kenderaan di sekatan itu dan di Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Cameron Highlands bagi memastikan tiada kenderaan luar merentas negeri untuk pulang beraya," katanya.

Sumber: Berita Harian Online
#Kelantan #Polis #Degil #PKP #Rentas Negeri #Laluan Tikus #Gali Lubang #Halang Rentas Negeri