VIRAL
Polis Kelantan Buru Empat Lelaki Culik Pemilik Kedai Emas
Polis Kelantan sedang mengesan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kes penculikan seorang pemilik kedai emas di Palekbang, Tumpat, Kelantan pada 20 Mei lepas.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kesemua suspek dipercayai masih bersembunyi di dalam negeri dan usaha memburu mereka dipertingkatkan.
"Dua daripada empat suspek telah dikenal pasti dan pasukan khas telah digerakkan untuk menjejaki mereka. Operasi besar-besaran termasuk pemeriksaan rapi di sekatan jalan raya di seluruh negeri sedang dijalankan bagi mengesan kenderaan yang digunakan," katanya ketika dihubungi pemberita pada Ahad.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, suspek menggunakan sebuah kereta jenis Suzuki Swift dalam penculikan tersebut.
"Walaupun mangsa telah dibebaskan pada hari yang sama beberapa jam selepas itu namun siasatan tetap dilakukan bagi mengenal pasti motif kejadian.
"Polis akan siasat kes ini di bawah Seksyen 365 kerana menculik dengan niat untuk mengurung seseorang secara salah dan sulit iaitu satu kesalahan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan," katanya.
Beliau berharap orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dan pihaknya tidak akan berhenti menyelesaikan kes tersebut sehingga semua yang terlibat ditangkap serta dibawa ke muka pengadilan.
Sementara itu, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 44 tahun ketika ditemui enggan memberikan sebarang komen dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis.
Sebelum ini, tular klip video memaparkan kenderaan mangsa dihadang dan dia secara paksa dibawa menaiki Suzuki Swift berwarna kelabu. - Bernama
Must-Watch Video