BERITA
Polis Maut Dipukul Dengan Barbel Kerana Hutang RM45
Seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Muaro Jambi ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati, dipercayai akibat dipukul dengan pemberat besi senaman (barbel) oleh seorang lelaki yang juga ahli sebuah pertubuhan masyarakat (ormas).
Mangsa, Lans Koperal Hendra Marta Utama dipercayai dibunuh oleh suspek dikenali sebagai Nopri Ardi hanya kerana isu hutang sebanyak 150,000 rupiah (sekitar RM45).
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polda Jambi, Senior Asisten Komisioner (SAC) Manang Soebeti, siasatan mendapati kedua-dua individu itu saling mengenali dan kejadian berpunca daripada pertengkaran berkaitan hutang yang dituntut oleh mangsa.
“Suspek yang dikenali sebagai N memukul mangsa dengan pemberat besi selepas tercetus perselisihan mengenai wang,” katanya ketika dihubungi wartawan Tribun Jambi pada Ahad.
Difahamkan, kejadian berlaku pada 18 Mei 2025 di rumah mangsa yang terletak di Kelurahan Pematang Sulur, Telanaipura, Kota Jambi.
Pada awalnya, pertemuan mereka berlangsung dalam keadaan tenang, namun suasana menjadi tegang apabila mangsa menagih hutang tertunggak.
Suspek kemudian menolak mangsa sehingga kepalanya terhantuk pada objek keras sebelum mengambil pemberat besi kecil dan menghentaknya ke kepala mangsa sebanyak dua kali hingga mangsa tidak sedarkan diri dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa hanya ditemukan dua hari kemudian, iaitu pada 20 Mei 2025 sekitar jam 1 petang waktu tempatan, selepas jiran mencium bau busuk dari rumah berkenaan lalu membuat laporan polis.
Mangsa ditemukan dalam keadaan hanya memakai seluar jean panjang tanpa baju, terbaring di ruang tamu rumah.
Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Jambi kemudian bertindak pantas dan berjaya menahan suspek kurang daripada 24 jam selepas penemuan mayat.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Jambi, Superintenden Madya (DSP) Hendra Wijaya Manurung, berkata suspek ditahan ketika sedang tidur bersama keluarganya di kawasan Jambi Paradise, Muaro Jambi sekitar jam 4 pagi waktu tempatan pada 21 Mei.
“Siasatan awal menghadapi cabaran kerana mangsa mempunyai sejarah darah tinggi, namun hasil bedah siasat dan pemeriksaan di tempat kejadian mengesahkan kematian disebabkan kekerasan fizikal,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya berjaya mengesan kes itu melalui kaedah siasatan forensik berasaskan saintifik.
Menerusi video yang tular, suspek dilihat menangis sewaktu ditahan dan sempat merayu kepada polis agar menjaga keluarganya.
“Tolong Pak, jaga keluargaku,” katanya dalam keadaan sebak.
Polis turut menafikan khabar angin yang mendakwa kononnya rumah tangga mangsa bermasalah.
Menurut Hendra, hubungan mangsa dengan isterinya adalah baik dan mereka tinggal bersama dua anak di rumah keluarga mentua.
“Rumah tempat kejadian hanyalah rumah singgah yang digunakan mangsa sesekali,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu yang boleh memburukkan lagi keadaan.
“Jangan tambah penderitaan keluarga dengan maklumat yang tidak sahih,” tegasnya.
Sumber: Sinar Harian