Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Polis Periksa Rumah Ke Rumah Untuk Pastikan Tiada Aktiviti Kunjung-Mengunjung Aidilfitri Ini!

Fiza Kamarudin
12/05/2021 03:50 MYT
Polis Petaling Jaya akan menjalankan pemantauan termasuk pemeriksaan rumah ke rumah ketika Aidilfitri ini bagi memastikan tiada aktiviti kunjung-mengunjung.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP​) itu akan dijalankan oleh pasukan pemantau khas yang ditubuhkan.

"Saya ingatkan kepada warga Petaling Jaya agar tiada sebarang aktiviti kunjung-mengunjung ketika Aidilfitri ini dan sentiasa patuh kepada SOP yang ditetapkan.

"Pihak polis akan menjalankan pemantauan serta pemeriksaan dari rumah ke rumah bagi memastikan tiada aktiviti kunjung-mengunjung," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada Rabu.

Menurutnya, ketika ini terdapat lapan pasukan pemantau khas yang telah ditubuhkan.

"Kita mempunyai lapan pasukan bagi menjalankan pemantauan SOP dan dari hari ke hari sememangnya penguatkuasaan kita akan sentiasa perketatkan.

"Selepas ini tiada lagi amaran dan sekiranya terdapat pelanggaran SOP, pihak polis akan terus mengambil tindakan kompaun," katanya.
Sementara itu menerusi laporan Utusan Malaysia pula, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam juga akan melakukan pemeriksaan rumah ke rumah bagi mengelak aktiviti ziarah dilakukan orang awam pada Aidilfitri kali ini.

Ia dilakukan bagi mengekang penularan Covid-19 dan pemeriksaan akan dijalankan secara rawak bermula Khamis ini sehingga kerajaan menarik balik arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, seramai 173 anggota polis termasuk pegawai akan melakukan pemeriksaan kediaman di sekitar Shah Alam.

#Polis #SOP Aidilfitri #Tiada Kunjung-Mengunjung
;