VIRAL

Polis Rampas 6 Jenis Ubat Dari Kediaman Ridz Okumura - "Ada Beberapa Ubat Dipercayai Dari Jepun"

Gempak 06/03/2025 | 10:30 MYT
Polis merampas enam jenis ubat dari kediaman usahawan dan pempengaruh media sosial, Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau Ridz Okumura untuk siasatan berhubung kematian isterinya, Akiko Okumura, Jumaat lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kes ini masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), namun siasatan masih dijalankan dengan melihat beberapa sudut.
Katanya, sudut siasatan termasuk melihat sama ada mangsa mempunyai masalah kemurungan atau kesihatan yang memerlukan ubat-ubatan.
"Ada beberapa ubat dalam bentuk pil yang kita rampas daripada rumah itu (tempat kejadian) yang dipercayai daripada Jepun (negara asal Akiko).
"Kita akan dapatkan bantuan daripada pihak kedutaan (Jepun) untuk kenal pasti apa ubat-ubat yang dia (Akiko) ambil, yang mungkin ada kaitan dengan insiden ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ke kilang haram sisa elektronik di Telok Panglima Garang di sini, hari ini.
Ketika ditanya sama ada Akiko mempunyai sejarah menerima rawatan kemurungan, Hussein berkata perkara itu masih dalam siasatan sama ada mangsa pernah menerima rawatan di Malaysia atau negara asalnya, Jepun.
Hussein berkata pihaknya juga akan meminta bantuan pakar daripada Jabatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengenal pasti bahan dan kegunaan ubat-ubatan yang dirampas itu.
"Sekiranya kita perlukan bantuan pihak di Jepun untuk kita dapatkan maklumat lanjut berhubung ubat-ubatan ini, maka kita akan minta bantuan pihak kedutaan Jepun," katanya.
Mengulas lanjut, Hussein berkata pihak polis setakat ini sudah merakam keterangan enam individu selain suami mangsa serta anaknya.
"Empat lagi individu yang dirakam keterangan adalah kakitangan hospital yang menjalankan bedah siasat serta saksi awam yang ada di tempat kejadian semasa mayat mangsa ditemui," katanya.
Semalam, Hussein mengesahkan mengesahkan wanita warga Jepun berusia 50-an yang sebelum ini dilaporkan maut terjatuh dari tingkat 4 sebuah kondominium di SS16 Subang Jaya pada Jumaat lalu adalah Akiko.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kerana tiada sebarang unsur jenayah ditemui setakat ini, namun polis akan membuat siasatan secara keseluruhan termasuk dari sudut kriminologi.
Jenazah Akiko selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya, Sabtu lalu.
Sumber: Harian Metro
#Viral #Polis #Kediaman #Ubat #Akiko Akumura #Ridzuan Okumura