Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Berita

Polis Selangor Lancar Operasi Pantau Aktiviti Orang Awam, Buat Sekatan Jalan Bermula Malam Ini

ZULHILMI JALIL 18/03/2020 | 14:56 MYT
Polis Selangor akan mengadakan operasi besar-besaran susulan Perintah Kawalan Pergerakan bermula malam ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner, Datuk Fadzil Ahmat berkata, operasi tersebut dijalankan selepas pihaknya menerima aduan terdapat individu yang masih tidak mengendahkan perintah yang dikeluarkan kerajaan.
"Operasi bermula malam ini akan memastikan orang ramai tidak berada di luar rumah tanpa alasan munasabah, polis akan berikan pemahaman dan nasihat kepada mereka.
"Operasi ini akan melibatkan seluruh negeri yang mana mempunyai 16 daerah secara keseluruhan," katanya seperti yang dilapor Astro Awani.
Jelasnya, Ketua Polis Daerah juga akan mengadakan sekatan jalan raya di setiap kawasan mereka bagi memantau aktiviti orang awam dan menasihatkan mereka pulang.
"Polis masih akan menggunakan kaedah menasihati dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menangkap serta membuka kertas siasatan kepada mereka yang masih berdegil.
"Kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan sekarang," katanya.
Operasi tersebut hanya akan berakhir selepas pihak polis berpuas hati sekiranya rakyat telah mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.
Sumber: Astro Awani
#PDRM #COVID-19 #Perintah Kawalan Pergerakan
;