BERITA

Polis Siasat Ibu Bapa Hud Aryan, Mungkin Ada Unsur Kecuaian

Gempak 27/02/2025 | 07:59 MYT
Polis Kelantan melakukan siasatan lanjut terhadap ibu ayah Hud Aryan Mohd Nor Hafifi berusia 19 bulan yang ditemukan meninggal dunia tersangkut pada pokok di tepi sungai yang terletak tiga kilometer dari rumah neneknya di Kampung Aira, Kuala Tiga di Tanah Merah pada Rabu.

Dipercayai ada unsur kecuaian

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tindakan tersebut diambil kerana pihaknya mendapati kehilangan kanak-kanak lelaki terbabit agak tidak munasabah.

"Saya telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Tanah Merah untuk siasat ibu ayah, ahli keluarga serta penduduk setempat.

"Mungkin dipercayai ada unsur kecuaian. Walaupun hasil bedah siasat tidak menemukan sebarang kesan dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun melihat kepada perkongsian orang ramai di TikTok, kami merasakan cara kanak-kanak ini hilang seperti tidak logik.

"Dalam masa lima minit, boleh hilang. Jarak rumah neneknya dengan anak sungai 50 meter," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Khamis.

Media pada Rabu melaporkan anggota yang terlibat dalam operasi dan menyelamat (SAR) serta penduduk kampung terpaksa berjalan kaki dan meredah air sedalam 0.6 meter sebelum menemukan jasad Hud Aryan dalam keadaan terbujur kaku.
Mayat anak tunggal kepada pasangan Azean Nur Atikah, 34, dan Mohd Hafifi Saidi, 34, itu ditemukan tersangkut pada pokok di tepi sungai yang terletak tiga kilometer dari rumah neneknya di Kampung Aira, Kuala Tiga di sini pada jam 4.15 petang.
Hud Aryan sebelum ini dilaporkan hilang pada waktu Maghrib semasa berada di rumah neneknya pada Isnin lalu.
Sumber: Sinar Harian

#Polis #Ibu Bapa #Cuai #Siasat #Hud Aryan