Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Polis Siasat Neelofa Tak Pakai Pelitup Muka Hadir Ke Mahkamah

Amri Hassan
21/05/2021 05:22 MYT
Polis akan menjalankan siasatan terhadap selebriti Noor Neelofa Mohd Noor yang didakwa mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban pada Khamis.

BACA: Nampak Bentuk Bibir Neelofa Melekap Di Purdah, Netizen Tanya; "Pakai Purdah Tak Payah Pakai Mask Ek?"

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima laporan polis berhubung perkara itu.

"Laporan polis diterima kerana tindakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka seperti mana diwajibkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada semua orang.

"Ini termasuklah kepada mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh," katanya menerusi kenyataan media.

Menurutnya, penjelasan berkenaan perkara itu telah dikeluarkan juga oleh KKM apabila kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam bermula 1 Ogos tahun lalu.

Sehubungan itu katanya, satu siasatan telah dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

"Polis tidak akan berkompromi dalam mengambil apa jua tindakan bagi memastikan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan peraturan yang ditetapkan oleh KKM sentiasa dipatuhi," katanya.

Pada Khamis, kehadiran selebriti berkenaan ke Kompleks Mahkamah Seremban menjadi kritikan netizen apabila beberapa keping foto bidikan media yang tersebar memperlihatkan bayangan hampir separuh wajah Neelofa di sebalik niqab yang dipakai memperlihatkannya tidak memakai pelitup muka.

Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban pada Khamis atas pertuduhan gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) awal Mei lalu.

Sumber: Sinar Harian
#Viral #Neelofa #Kontroversi #Netizen #niqab #Mahkamah #Purdah #Face Mask #SOP #Seremban