Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Polis Tahan Lelaki Pukul Anjing Sehingga Mati

Asyraf Roslan
07/11/2024 15:41 MYT

Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 39 tahun di Keningau, Sabah selepas memukul seekor anjing sehingga mati dengan menggunakan sebatang besi.

Ketua Polis Daerah Keningau, Yampil Garai berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut menerusi sebuah video tular pada Rabu.

Jelasnya, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah bengkel di Kampung Patikang, Keningau.

“Suspek telah ditahan sekitar jam 10.30 malam Rabu dan polis turut merampas batang besi yang digunakan dalam kejadian tersebut.

“Lelaki tersebut kini direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kata Yampil, kes itu disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan membunuh haiwan.

“Jika didapati bersalah suspek boleh dikenakan hukuman penjara hingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” tegasnya ketika dipetik sebuah portal pada Rabu.

Katanya lagi, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar.

Jelas Yampil, pihaknya memandang serius insiden kekejaman terhadap haiwan dan akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang.

#Anjing #Pukul #Video Tular
;