VIRAL
Polis Temui Kanak-Kanak 7 Tahun Pandu Adik Sejauh 14KM Untuk Beli Makanan
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mengejutkan ibunya apabila memandu bersama adik perempuannya untuk membeli makanan di Mc Donalds.
Insiden tersebut berlaku pada 27 April lalu sekitar pukul 8 pagi waktu tempatan di Utah, Amerika Syarikat, lapor People.
Kedua kanak-kanak itu ditahan selepas pihak berkuasa tempatan menerima aduan daripada pengguna jalan raya yang melihat sebuah kenderaan dipandu dalam keadaan berbahaya.
Kenderaan tersebut antaranya tidak berada dalam laluan sebenar. Malah budak lelaki tersebut didapati telah berjaya memandu sejauh 14 kilometer dari rumah sebelum ditemui polis.
Polis menemui seorang kanak-kanak berusia 7 tahun dan adiknya di dalam kereta di tepi jalan. Keduanya bagaimanapun tidak mengalami luka atau cedera akibat kemalangan.
Mereka mengaku keluar daripada rumah dan memandu kereta milik ibu tanpa pengetahuan ahli keluarga.
Tindakan itu dilakukan selepas si abang teringin membeli makanan segera di Mc Donalds.
“Menerusi siasatan, seorang budak lelaki tujuh tahun telah memandu kenderaan tanpa pengetahuan keluarga.
“Dia telah memandu sejauh beberapa kilometer sebelum ditahan pihak polis,” ujar kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Sementara itu ibu kedua kanak-kanak tersebut hanya menyedari dua daripada empat anak dan kenderaannya tiada selepas bangun daripada tidur. Dia mengaku semua anaknya telah masuk tidur pada malam sebelum kejadian.
“Saya tidak bangga dengan apa yang terjadi. Dia mungkin diharamkan memandu seumur hidup,” katanya yang mendakwa anak lelakinya memberitahu memakai tali pinggang keselamatan sewaktu memandu.
Must-Watch Video