Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Polis Terima 12 Laporan Kes Buli Anak Tam Spider, Khir Rahman

Gempak
09/10/2024 08:00 MYT
Polis akan merekod keterangan beberapa pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah berasrama penuh bagi membantu siasatan kes buli.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan selepas menerima 12 laporan polis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua mangsa terdiri daripada pelajar berusia antara 14 hingga 16 tahun manakala pembuli pula terdiri daripada pelajar berusia 17 tahun.

"Dua kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan ia dikembalikan semula untuk dikemas kini, manakala satu lagi kertas siasatan belum lengkap dalam proses siasatan kerana pelajar (pelaku) terbabit sedang menjalani ujian percubaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

"Pihak sekolah telah memohon untuk tangguhkan proses bagi memberi ruang pelajar terlibat hadir ujian percubaan SPM," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini pada Rabu.

Rusdi berkata, dijangkakan lima hingga enam pelajar (pelaku) ini akan direkod keterangan pada 13 dan 14 Oktober.

Menurutnya, selain itu, polis telah merekod keterangan seorang warden asrama sekolah terbabit disyaki terlibat dalam kes ini.

"Berdasarkan laporan, ada mangsa mengalami kecederaan di telinga, lebam di tangan dan kaki. Tiada senjata digunakan dalam kejadian buli itu, pelaku hanya menggunakan tangan dan kaki.

"Bagaimanapun, polis mengambil berat mengenai kes buli yang tidak boleh dibiarkan berpanjangan. Banyak insiden yang berlaku dan sudah ada pelajar yang dituduh di mahkamah walaupun menggunakan tangan dan kaki tetapi boleh menyebabkan kecederaan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan penyanyi kumpulan Spider, Tam atau nama sebenar Rustam Mustafah yang mendakwa anak lelakinya berusia 14 tahun menjadi mangsa buli.

Selain Tam beberapa ibu bapa lain termasuk pelakon, Khir Rahman turut tampil mendedahkan perkara sama dan mendesak pihak sekolah mengambil tindakan terhadap pembuli terbabit.

Sumber: Sinar Harian

#Polis #Tam Spider #Khir Rahman #Laporan #Kes Buli
;